Skip to main content

Teknologi

Sony cadang ambil alih pengeluar lensa Tamron

81754559122_SonyheadquartersT.jpg
Sony merupakan antara pengeluar kamera dan sensor imej terbesar dunia, manakala Tamron membekalkan lensa kepada Sony serta pengeluar lain termasuk Nikon dan Canon. -Gambar fail
Advertisement

TOKYO: Sony Group Corporation mengemukakan cadangan rasmi untuk mengambil alih keseluruhan pegangan saham Tamron Co Ltd bagi menjadikan pengeluar lensa terkenal Jepun itu sebagai anak syarikat milik penuhnya, lapor Amanz.

Dalam kenyataan rasmi, Tamron mengesahkan telah menerima cadangan berkenaan, namun menegaskan tawaran tersebut masih bersifat tidak mengikat dan tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.

Susulan perkembangan itu, lembaga pengarah Tamron menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menilai pelbagai pilihan strategik yang dapat meningkatkan nilai korporat syarikat serta melindungi kepentingan pemegang saham.

Pengumuman tersebut mendorong lonjakan minat pelabur terhadap saham Tamron, yang dibanjiri pesanan beli di Bursa Saham Tokyo sehingga dagangannya digantung sementara, manakala saham Sony susut dalam dagangan.

Jurucakap Sony berkata cadangan itu diyakini mampu meningkatkan nilai korporat Tamron dan pemegang kepentingannya, selain menyumbang kepada pembangunan perniagaan pengimejan Sony.

Sony merupakan antara pengeluar kamera dan sensor imej terbesar dunia, manakala Tamron membekalkan lensa kepada Sony serta pengeluar lain termasuk Nikon dan Canon.

Data LSEG menunjukkan Sony kini memiliki 14.7 peratus kepentingan dalam Tamron, manakala firma pelaburan berpangkalan di Singapura, Effissimo Capital, merupakan pemegang saham terbesar dengan pegangan 17.4 peratus.

 

Must Watch Video

Advertisement