STRIPE, penyedia infrastruktur pembayaran global, dilapor menunjukkan minat awal untuk mengambil alih sebahagian atau keseluruhan perniagaan PayPal.
Menurut laporan Bloomberg, langkah itu masih pada peringkat perbincangan awal dan belum membawa kepada sebarang tawaran rasmi.
Advertisement
Minat Stripe itu hadir ketika PayPal berdepan tekanan dalam pasaran pembayaran digital, termasuk persaingan sengit daripada Apple Pay, Google Pay serta model pembayaran bersepadu lain.
Prestasi saham PayPal juga merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat pertumbuhan yang perlahan.
PayPal kini dianggarkan bernilai sekitar AS$40 bilion hingga AS$44 bilion(sekitar RM155-RM171 bilion).
Penganalisis menyatakan potensi pengambilalihan itu mungkin memberi manfaat kepada Stripe, yang kuat pada segmen e-dagang dan B2B tetapi kurang jenama pengguna.
PayPal pula memiliki rangkaian global pengguna serta aset seperti Venmo dan Braintree yang bernilai sehingga AS$15 bilion.
Bagaimanapun, laporan turut menekankan bahawa rundingan ini mungkin tidak berakhir dengan sebarang transaksi, memandangkan kedua-dua syarikat belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung spekulasi tersebut.