NEW YORK: TikTok secara rasmi melancarkan beberapa ciri interaktif baharu termasuk kemudahan meninggalkan mesej suara (Voice Comments) di ruangan komen bagi memperkaya pengalaman interaksi komuniti digital di platform itu, lapor Amanz.
Pengenalan ciri tersebut membolehkan pengguna merakam dan memuat naik mesej audio sehingga 60 saat secara terus di bawah sesuatu video tanpa perlu menaip komen secara manual.
TikTok berkata fungsi itu kini dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna berusia 18 tahun ke atas di seluruh dunia sepanjang bulan ini.
Selain fungsi audio, TikTok turut memperkenalkan Comment Polls yang membolehkan pencipta kandungan mewujudkan undian interaktif pada video mereka dengan sehingga lima pilihan jawapan.
Ciri itu memaparkan keputusan undian secara masa nyata di ruangan komen, sekali gus memudahkan pencipta kandungan mendapatkan maklum balas terus daripada pengikut mereka.
Ekosistem interaksi platform berkenaan turut diperkukuh menerusi pengenalan Photo Carousel Comments, yang membolehkan pengguna berkongsi sehingga sembilan foto dalam satu komen.
Pada masa sama, Live Photo Comments turut dilancarkan secara global, membolehkan pengguna memuat naik foto bergerak dengan kesan pergerakan ringkas terus daripada galeri peranti mereka.
Menurut TikTok, kemas kini itu bertujuan menjadikan ruangan komen lebih interaktif dan ekspresif, serta tidak lagi terhad kepada komunikasi berasaskan teks semata-mata.