Skip to main content

Teknologi

U Mobile himpun ekosistem 5G-A dan AI di bawah EIP Hub

U Mobile
Fahmi (tengah) pada Majlis Pelancaran Enterprise Innovation Platform (EIP) Hub di Kuala Lumpur, 6 Ogos 2026. - Foto U Mobile
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketika kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian 5G-Advanced (5G-A) semakin mengubah landskap perniagaan, cabaran terbesar yang dihadapi banyak organisasi bukan lagi sekadar mencipta idea baharu, tetapi juga memastikan inovasi itu benar-benar dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi impak.

Bagi membantu perusahaan merapatkan jurang itu, U Mobile pada Khamis melancarkan Enterprise Innovation Platform (EIP) Hub, sebuah hab inovasi kolaboratif yang dibangunkan di atas infrastruktur 5G-A bagi membolehkan idea diuji, diperhalusi dan diterjemah kepada aplikasi dunia sebenar sebelum dilaksanakan pada skala lebih besar.

Majlis pelancaran yang disempurnakan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil itu turut menandakan fasa baharu EIP apabila menghimpunkan perusahaan, rakan teknologi, institusi akademik, panel penasihat serta agensi sektor awam dalam mempercepat pembangunan penyelesaian berasaskan 5G-A dan AI merentasi pelbagai industri.

Lebih daripada sebuah hab inovasi, EIP Hub menyediakan ruang khusus untuk organisasi membangunkan, menguji dan mengesahkan penyelesaian digital sebelum diperluaskan ke peringkat operasi. 

Pendekatan itu membantu mengurangkan risiko pelaksanaan, mempercepat penggunaan teknologi serta penyampaian hasil perniagaan yang lebih bermakna.

Ekosistem itu turut disokong rangkaian rakan strategik termasuk Amazon Web Services (AWS), Huawei Malaysia, Palo Alto Networks, Qualcomm dan Agibot sebagai rakan utama, selain syarikat teknologi seperti ZTE Malaysia, China Mobile International, Meraque Group, Braintree Technologies, Tapway dan Akila.

Turut menyertai platform berkenaan ialah MRANTI, Cradle Fund serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi menghubungkan kepakaran teknologi, pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi perusahaan di bawah satu ekosistem.

Image
U Mobile
Sesi tinjauan pelbagai ekosistem berteknologi tinggi sempena pelancaran Enterprise Innovation Platform (EIP) Hub. - Foto U Mobile

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, aspirasi syarikat itu melangkaui penyediaan rangkaian telekomunikasi apabila turut membina asas digital yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

"Di U Mobile, cita-cita kami bukan sekadar menyediakan sambungan rangkaian.

“Sebagai penyedia rangkaian 5G terbaharu Malaysia, kami sedang membina infrastruktur digital yang akan menjadi asas kepada fasa pertumbuhan negara yang seterusnya.

"Melalui EIP dan EIP Hub, kami mahu mewujudkan persekitaran yang membolehkan organisasi meneroka teknologi baharu dengan yakin, membangunkan penyelesaian praktikal serta mengembangkan inovasi yang mampu menghasilkan impak perniagaan yang boleh diukur menerusi infrastruktur 5G-A kami," katanya.

Beliau berkata, komitmen Powering Possibilities yang dibawa U Mobile turut selari dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara digital terkemuka menerusi kerjasama erat antara kerajaan, industri, institusi akademik dan rakan teknologi.

Sempena pelancarannya, EIP Hub turut mempamerkan empat demonstrasi penyelesaian yang dibangunkan secara dalaman, iaitu Visual Intelligence berasaskan 5G dan AI untuk pemantauan operasi masa nyata, Digital Twin bagi pengurusan aset secara ramalan, dron 5G untuk rondaan autonomi serta robot humanoid pintar yang membantu mengautomasikan operasi dan meningkatkan produktiviti.

Rakan ekosistem EIP turut memperlihatkan aplikasi industri masing-masing, antaranya penyelesaian pertanian pintar AgriNXT oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyelesaian peruncitan pintar berasaskan AI oleh Qualcomm, serta Huawei Smart Ward Solution yang menggabungkan teknologi 5G, Fixed Wireless Access (FWA) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) bagi membolehkan pemantauan pesakit secara masa nyata di hospital.

Pelancaran itu turut disusuli Executive Innovation Forum selama dua hari yang menghimpunkan pemimpin industri, rakan teknologi dan inovator bagi berkongsi pandangan, meneroka aplikasi praktikal 5G-A dan AI serta membuka peluang kerjasama baharu.

Pada masa hadapan, EIP Hub akan terus mengembangkan ekosistemnya menerusi kerjasama strategik, pembuktian konsep, program perintis dan pengesahan penyelesaian bagi mempercepat penggunaan teknologi digital merentas pelbagai sektor.

U Mobile sebelum ini turut diiktiraf oleh Opensignal atas prestasi rangkaiannya menerusi pengiktirafan dalam kategori Quality of Experience, Network Performance, Application Experience serta anugerah 5G Availability.

Orang ramai dan organisasi yang berminat untuk menyertai EIP atau mengetahui lebih lanjut mengenai EIP Hub boleh melayari https://www.u.com.my/en/enterprise-innovation-platform .

Must Watch Video

Advertisement