PLATFORM pemesejan WhatsApp dilaporkan sedang membangunkan pelan langganan berbayar baharu dikenali sebagai Meta One, yang menggabungkan ciri premium daripada platform utama Meta dalam satu pakej tunggal.
Menurut laporan portal teknologi Amanz, perkhidmatan bersepadu itu akan membolehkan pengguna menikmati kelebihan premium di WhatsApp, Instagram, Facebook dan Meta AI secara serentak tanpa perlu melanggan secara berasingan.
Pelan tersebut ditawarkan sebagai tambahan kepada perkhidmatan WhatsApp Plus sedia ada.
Berdasarkan kemas kini terbaharu, dua varian langganan dijangka diperkenalkan:
- Pelan pertama, Meta One Plus, ditawarkan pada €6.99 (kira-kira RM33.20) sebulan dengan tempoh percubaan percuma selama sebulan. Ia memfokuskan peningkatan pengalaman Meta AI termasuk kuota penggunaan lebih tinggi, keupayaan analisis dipertingkat serta alat penciptaan imej dan video, selain akses kepada WhatsApp Plus.
- Pelan kedua, Meta One Premium, berharga €20.99 (kira-kira RM99.70) sebulan, menawarkan prestasi AI lebih tinggi, kuota penjanaan kandungan yang lebih besar serta akses tambahan kepada fungsi Meta AI.
WhatsApp dijangka menyepadukan pilihan langganan ini ke dalam bahagian ‘Subscriptions’ dalam tetapan aplikasi.
Bagaimanapun, Meta menegaskan pelan berbayar ini hanya bersifat tambahan, manakala fungsi asas WhatsApp seperti mesej, panggilan suara dan keselamatan privasi kekal percuma untuk semua pengguna.
Ciri langganan Meta One kini masih dalam peringkat pembangunan dan tarikh pelancaran rasmi belum diumumkan.