KUALA LUMPUR: Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya mencatatkan 15 dokumen kerjasama dan perjanjian strategik yang merangkumi pelbagai aspek termasuk tenaga boleh baharu, pembangunan grid, infrastruktur gas, pembangunan bakat serta kerjasama rentas sempadan.
Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga TNB, Ir Dr Mohd Fadzil Mohd Siam berkata, pencapaian itu membuktikan ETCon26 bukan sekadar platform perbincangan, malah berjaya menggerakkan agenda peralihan tenaga ke arah pelaksanaan yang lebih nyata.
Menurut beliau, antara projek penting yang diumumkan sepanjang persidangan termasuk pembangunan solar berskala besar, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), Solar Terapung Hidro Hibrid serta kerjasama antara TNB dan DayOne bagi menyokong pertumbuhan pusat data yang menggunakan tenaga boleh baharu.
"Ini membuktikan bahawa ETCon26 berjaya menggerakkan agenda daripada perbincangan kepada pelaksanaan.
"Apa yang lebih penting, perbincangan sepanjang tiga hari ini bukan sekadar tertumpu kepada idea dan dasar, tetapi turut menghasilkan kerjasama, pelaburan dan langkah susulan yang boleh diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pencapaian ETCon26 yang memasuki hari terakhir persidangan.
Dr Fadzil berkata, setakat ini ETCon26 telah mencapai objektif utamanya sebagai platform yang menghimpunkan penggubal dasar, pemain industri, pelabur dan rakan teknologi untuk mempercepat agenda peralihan tenaga negara.
Tambahnya, penyertaan lebih 4,000 delegasi serta penglibatan aktif pemimpin kerajaan dan industri menunjukkan komitmen yang semakin kukuh terhadap aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Mengulas penyertaan pemain industri global dalam persidangan itu, beliau berkata peralihan tenaga memerlukan kerjasama yang melangkaui sempadan industri dan negara.
"Melalui ETCon26, kita berjaya menghimpunkan pelbagai pihak merangkumi sektor tenaga, teknologi, kewangan, infrastruktur dan dasar awam untuk membincangkan cabaran serta peluang secara bersama.
"Kerjasama strategik ini membolehkan perkongsian kepakaran, teknologi, pembiayaan dan pengalaman terbaik bagi mempercepat pembangunan projek tenaga masa hadapan," ujarnya.
Menurut beliau, kerjasama yang terjalin juga mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab peralihan tenaga serta rakan penting dalam agenda keterhubungan tenaga ASEAN.
Dr Fadzil berkata, tema ETCon26 tahun ini iaitu "Tenaga & AI: Sinergi Memacu Peralihan Tenaga" turut mencerminkan peranan penting kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi dalam membentuk masa depan sektor tenaga.
Beliau menjelaskan, teknologi AI berupaya meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh pengurusan grid, meramal permintaan tenaga dengan lebih tepat serta mempercepat integrasi tenaga boleh baharu ke dalam sistem tenaga negara.
Pada masa sama, katanya, pertumbuhan AI dan pusat data akan meningkatkan permintaan terhadap bekalan elektrik yang stabil, selamat dan mampan.
"Oleh itu, tema ETCon26 sangat relevan kerana ia melihat hubungan dua hala antara tenaga yang diperlukan untuk menyokong AI dan AI yang boleh membantu mentransformasikan sektor tenaga," jelasnya.
Mengulas harapan jangka panjang TNB, beliau berkata syarikat utiliti itu mahu melihat momentum yang terhasil daripada ETCon26 diterjemahkan kepada projek, pelaburan dan kerjasama jangka panjang yang menyokong aspirasi Sifar Bersih 2050 Malaysia dan rantau ASEAN.
"TNB melihat ETCon26 sebagai permulaan kepada fasa seterusnya, di mana perjanjian dan kerjasama yang diwujudkan akan bergerak ke peringkat pelaksanaan.
"Dengan sokongan dasar yang kukuh, kerjasama industri yang erat dan pelaburan yang berterusan, kami yakin Malaysia mampu membangunkan sistem tenaga yang lebih mampan, berdaya tahan dan saling berhubung di peringkat serantau," katanya dalam temu bual program Niaga AWANI pada Jumaat.