Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pendakwaan tutup kes rasuah Lim Guan Eng, hujahan 26-27 Jan 2027

Seramai 38 saksi telah memberi keterangan, termasuk rakaman percakapan mendiang Datuk Ewe Swee Kheng yang diterima sebagai bukti selepas kematiannya pada 2021. - Gambar fail/Bernama
Seramai 38 saksi telah memberi keterangan, termasuk rakaman percakapan mendiang Datuk Ewe Swee Kheng yang diterima sebagai bukti selepas kematiannya pada 2021. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Pihak pendakwaan menutup kes rasuah Lim Guan Eng berkaitan projek terowong dasar laut dan jalan utama Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion selepas lima tahun perbicaraan.
  • Seramai 38 saksi telah memberi keterangan, termasuk rakaman percakapan mendiang Datuk Ewe Swee Kheng yang diterima sebagai bukti selepas kematiannya pada 2021.
  • Mahkamah mengarahkan hujahan bertulis difailkan pada 13 Januari dan menetapkan 26 serta 27 Januari tahun depan untuk hujahan lisan.

KUALA LUMPUR: Selepas lebih lima tahun dibicarakan dan 38 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan hari ini menutup kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bahawa pendakwaan menutup kesnya selepas saksi ke-38, Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulhilmi Ramli yang juga pegawai penyiasat kes itu, selesai memberi keterangan.

"Alhamdulillah, pertama kali kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada puan (Hakim Azura) kerana sabar mendengar perbicaraan kes ini lebih lima tahun. Jadi, saya dengan ini menutup kes pendakwaan dan menawarkan Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Rajendran P. Anthony kepada pihak pembelaan sekiranya pembelaan dipanggil," katanya.

Azura kemudian memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan hujahan bertulis pada 13 Jan dan menetapkan 26 serta 27 Jan tahun depan untuk pihak-pihak berhujah secara lisan.

Kes itu mula dibicarakan pada 13 Julai 2021 dan antara yang memberi keterangan ialah bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, bekas Exco Pulau Pinang Datuk Lim Hock Seng, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus, bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta ahli perniagaan Datuk Seri G. Gnanaraja.

Kes tersebut mendapat perhatian kerana melibatkan beberapa peristiwa penting antaranya kematian bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ewein Bhd, Datuk Ewe Swee Kheng yang ditemukan maut selepas dilaporkan terjatuh dari sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang pada 5.37 pagi, 5 Okt 2021.

Mendiang yang berumur 53 tahun merupakan saksi pendakwaan ke-15 yang sepatutnya dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes tersebut.

Namun, pada 16 Dis 2021, mahkamah membenarkan rakaman percakapan Ewe diterima masuk sebagai keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Lim. 

Pada prosiding hari ini, Wan Shaharuddin turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Khairunnisa Hazwani Omar, Farah Yasmin Salleh dan Julaila Jamaludin manakala peguam Ramkarpal Singh, RSN Rayer, Mohd Haijan Omar, Tiara Katrina Fuad dan Asyraaf Abu Bakar Hamzah mewakili Lim.

Bagi pertuduhan pertama, Lim, 65, didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM3.3 juta bagi dirinya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad, dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu dituduh meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk melaksanakan projek sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada Mac 2011, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Apakah perkembangan terkini kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng? 
    A: Pihak pendakwaan telah menutup kes selepas lebih lima tahun perbicaraan dan 38 saksi dipanggil memberi keterangan.
  • Q: Siapakah saksi terakhir yang memberi keterangan dalam perbicaraan kes ini? 
    A: Saksi ke-38 ialah Penguasa Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zulhilmi Ramli, yang juga pegawai penyiasat kes tersebut.
  • Q: Apakah pertuduhan utama yang dihadapi oleh Lim Guan Eng? 
    A: Lim Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM3.3 juta dan meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.
  • Q: Apakah hukuman yang diperuntukkan jika Lim Guan Eng didapati bersalah atas pertuduhan mengikut Akta SPRM? 
    A: Jika sabit kesalahan, hukuman maksimum ialah penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
  • Q: Apakah peristiwa penting lain yang dikaitkan dengan kes ini? 
    A: Kes ini turut mendapat perhatian kerana kematian saksi pendakwaan ke-15, Datuk Ewe Swee Kheng, yang ditemukan maut selepas terjatuh dari sebuah kondominium pada 5 Oktober 2021.

Must Watch Video

Advertisement