KUALA LUMPUR: Di sebalik kandungan hiburan yang dinikmati jutaan rakyat Malaysia setiap hari, Astro Malaysia Holdings (Astro) sedang menggerakkan perubahan yang lebih besar menggunakan pengaruh medianya untuk memacu amalan perniagaan yang lebih bertanggungjawab dan mampan.
Usaha itu diterjemahkan melalui pencapaian terbaharu apabila Astro mengekalkan skor Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) 4.1 daripada 5 dalam penilaian Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia bagi Disember 2025.
Advertisement
Keputusan itu meletakkan Astro dalam 1 peratus teratas syarikat media di peringkat global, satu kedudukan yang mencerminkan konsistensi syarikat dalam mengamalkan tadbir urus telus dan operasi yang lebih lestari.
Indeks FTSE4Good yang dibangunkan FTSE Russell menjadi rujukan pelabur antarabangsa dalam menilai prestasi ESG syarikat. Berteraskan penilaian tersebut, Astro turut merangkul Anugerah Emas kategori Telekomunikasi & Media di The Edge ESG Awards 2025.
Pengiktirafan Astro turut diperluas di peringkat serantau apabila syarikat itu dinamakan 2-Star Lister dalam ESG Select List 2025 oleh UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) bagi kategori ESG Breakthrough Innovation dan Purposeful Partnership.
Penghargaan ini diberikan kepada organisasi yang menunjukkan kemajuan nyata selari dengan Prinsip UN Global Compact serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Dalam aspek inovasi, Astro menjadi antara peneraju industri yang menggunakan teknologi Extended Reality (XR) untuk mengurangkan kesan alam sekitar dalam proses penerbitan.
Penggunaan XR membantu mengurangkan keperluan pembinaan set fizikal, penggambaran di lokasi serta penggunaan tenaga dan bahan yang intensif, sambil membuka ruang kepada pendekatan kreatif yang lebih dinamik.
Pada masa sama, inisiatif Forward Faster Louder Programme yang dilaksanakan bersama UNGCMYB memanfaatkan rangkaian media Astro untuk menonjolkan kisah berkaitan ESG daripada syarikat korporat, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta individu.
Pendekatan penceritaan ini meningkatkan kesedaran awam dan menggalakkan penyertaan lebih luas dalam usaha kelestarian.
Sebagai platform media dan kandungan utama negara, Astro turut menyalurkan pengaruhnya melalui inisiatif Voice For Good, dengan menyiarkan sekitar 12,000 jam khidmat pesanan awam dan kandungan berkaitan ESG sepanjang tahun lalu.
Usaha ini memberi tumpuan kepada isu sosial dan alam sekitar, mengangkat suara komuniti yang kurang mendapat perhatian serta mencetuskan perbincangan di peringkat nasional.
Dengan gabungan inovasi teknologi dan penceritaan berimpak tinggi, Astro terus memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem media yang lebih bertanggungjawab, sambil menyumbang ke arah masa depan Malaysia yang lebih mampan dan inklusif.