KUALA LUMPUR: Lebih banyak peluang pekerjaan dan ruang pembangunan belia bakal diwujudkan berikutan pengumuman McDonald’s Malaysia mengenai pelan pelaburan RM1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pelaburan ini mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat itu untuk membina tenaga kerja Malaysia yang lebih berdaya saing, di samping memperluas rangkaian restoran di seluruh negara.
Advertisement
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata syarikat itu mencatat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 26 peratus pada 2025, meskipun beroperasi dalam persekitaran perniagaan yang mencabar. Prestasi itu dipacu oleh permintaan pelanggan yang konsisten, tawaran nilai kompetitif, inovasi menu berterusan serta kecemerlangan operasi di seluruh rangkaian restoran.
“Dari segi strategi bisnes apa yang membantu kita memperoleh 26 peratus adalah satu harga produk yang disediakan McDonald’s Malaysia tidak mahal dan kualiti makanan ataupun produk kami kekal,” katanya di Majlis Pembukaan Semula McDonald’s Pandu-Lalu Titiwangsa, Jalan Pahang, di sini.
McDonald’s Pandu-Lalu Titiwangsa di Jalan Pahang merupakan restoran pandu lalu pertama McDonald’s di Malaysia yang kini beroperasi dengan identiti baharu sebagai restoran konsep Luna pertama di negara ini dan kedua di Asia.
Menurut Azmir, McDonald’s merancang membuka 100 restoran baharu dalam tempoh lima tahun yang dijangka akan mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, sejajar dengan komitmen syarikat terhadap pengambilan pekerja tempatan dan pembangunan kerjaya jangka panjang.
“Kami yakin jenama McDonald’s dipercayai oleh pelanggan kerana kami amat aktif dari segi komuniti dan dalam memberi sesuatu yang mudah diakses.
“Antara penyebab lain, apa yang kami dapati adalah oleh kerana lokasi-lokasi strategik restoran McDonald’s di Malaysia, restoran kami sangat mudah diakses oleh pelanggan.
“Malah orang ramai juga boleh datang ke restoran yang menyediakan juadah dengan harga tidak mahal menjadi salah satu faktor terbesar memangkin pertumbuhan bisnes.
“Jadi itu merupakan antara penyebab utama bagaimana McDonald’s Malaysia mampu mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 26 peratus pada 2025,” tambahnya.
Sebahagian besar pelaburan turut memfokuskan kepada pengembangan Akademi Vokasional McDonald’s melalui kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Sejak 2018, program ini telah melatih lebih 5,000 belia, dengan lebih 80 peratus memilih untuk membina kerjaya di McDonald’s Malaysia.
Program tersebut juga menggabungkan latihan praktikal di restoran dan pembelajaran berstruktur di dalam kelas bagi menyediakan kemahiran bertaraf antarabangsa, termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).
Selain pembangunan tenaga kerja, pelan yang diumumkan ini turut merangkumi pelaburan berterusan dalam teknologi bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan, termasuk penambahbaikan sistem digital serta aplikasi mudah alih.
McDonald’s Malaysia juga menyokong rantaian bekalan tempatan yang kukuh dengan 75 peratus produk diperoleh dan dihasilkan secara tempatan, sekali gus membantu merancakkan ekonomi domestik.
Dalam aspek kelestarian, syarikat berkenaan telah memasang panel solar di lebih 100 restoran di seluruh negara dan merancang memperluas inisiatif itu ke 100 lagi restoran menjelang akhir 2026. McDonald’s Malaysia juga sedang bergerak ke arah pengurangan penggunaan plastik serta menggunakan bahan pembungkusan yang boleh dikitar semula.
Sepanjang 43 tahun beroperasi, McDonald’s Malaysia kini mempunyai lebih 370 restoran di seluruh negara, dengan tenaga kerja melebihi 16,000 kakitangan tempatan. Di samping itu, syarikat terus melaksanakan lebih 10,000 aktiviti komuniti setiap tahun termasuk program sokongan Ramadan di masjid dan surau, sambutan perayaan serta inisiatif kebajikan melalui kerjasama dengan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia).
“Pertumbuhan kami dibina melalui disiplin, dedikasi dan fokus yang jelas terhadap pelaburan dalam perkara yang paling penting iaitu restoran, kakitangan dan komuniti sekeliling.
“Apabila kami terus berkembang, kami komited untuk mewujudkan pekerjaan stabil dan peluang kerjaya untuk rakyat Malaysia di seluruh negara,” jelas Azmir.
Untuk maklumat lanjut, layari www.mcdonalds.com.my .