Skip to main content

Malaysia

Rebut lima waktu mustajab berdoa di bulan Ramadan

MUSLIM DOA
Ramadan memberi keistimewaan apabila setiap kebaikan diganjarkan berlipat kali ganda dan doa-doa dipanjatkan lebih dekat untuk dimakbulkan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Ramadan merupakan bulan yang istimewa bagi umat Islam. Selain menunaikan kewajipan berpuasa, bulan ini turut membuka ruang luas untuk meraih keberkatan dan memperbanyakkan doa. Ramadan memberi keistimewaan apabila setiap kebaikan diganjarkan berlipat kali ganda dan doa-doa dipanjatkan lebih dekat untuk dimakbulkan. Justeru, mengetahui masa terbaik untuk berdoa dapat membantu umat Islam mengisi bulan mulia ini dengan lebih bermakna.

  1. Waktu Sahur

Sahur sering dianggap sekadar rutin untuk mengisi perut sebelum memulakan puasa. Namun waktu inilah yang sebenarnya membuka peluang besar untuk berdoa kerana ia termasuk dalam sepertiga malam terakhir, iaitu saat yang paling sesuai untuk bermunajat. Rasulullah SAW bersabda: “Pada sepertiga malam terakhir, Allah dengan kemurahan dan kasih sayang-Nya melimpahkan rahmat-Nya kepada makhluk-Nya, lalu Dia berfirman: ‘Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, Aku akan perkenankan. Sesiapa yang meminta kepada-Ku, Aku akan berikan, dan sesiapa yang memohon keampunan, Aku akan mengampuninya.’” (HR. Bukhari, no. 1145)

Advertisement

Oleh itu, selain bersahur luangkan beberapa minit untuk berdoa dan memohon apa sahaja kebaikan yang diinginkan.

 

  1. Sepanjang Hari Berpuasa

Sepanjang hari berpuasa juga merupakan waktu mustajab untuk berdoa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga doa yang tidak akan ditolak: doa seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (HR. Ibnu Majah, no. 1752).

Ini bermakna setiap detik dalam keadaan berpuasa adalah peluang untuk berdoa dan memohon pertolongan serta keberkatan daripada Allah SWT. Sama ada sedang bekerja, belajar atau berehat, setiap Muslim boleh mengambil kesempatan ini dengan memperbanyakkan doa dalam hati atau secara lisan.

 

  1. Saat Berbuka Puasa

Saat berbuka puasa sering dinanti sebagai waktu menikmati hidangan selepas seharian menahan lapar dan dahaga. Namun, pada detik inilah doa-doa juga berada paling hampir untuk dimakbulkan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika saat dia berbuka, terdapat doa yang tidak akan ditolak.” (HR. Ibnu Majah, no. 1753).

Justeru sebelum menyuap makanan pertama, ambillah beberapa saat untuk berdoa dengan penuh pengharapan dan keikhlasan.

 

  1. Ketika Sujud Dalam Solat

Sujud merupakan antara saat paling utama dalam solat kerana pada ketika itu seorang hamba berada paling dekat dengan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Seorang hamba paling dekat dengan Tuhannya ialah ketika dia dalam keadaan sujud, maka perbanyakkanlah doa.” (HR. Muslim, no. 482).

Justeru ketika sujud, seseorang disunatkan untuk memperbanyakkan doa dan permohonan kepada Allah SWT, sama ada memohon keampunan, hidayah, mahupun segala kebaikan dalam kehidupan. Namun demikian, doa ketika sujud hendaklah dilakukan mengikut adab dan ketetapan solat. Bagi mereka yang mampu, doa dalam bahasa Arab adalah lebih utama dan dituntut.

Manakala bagi mereka yang belum mampu melafazkan doa dalam bahasa Arab, maka cukuplah dengan berdoa di dalam hati tanpa melafazkannya dengan lidah bagi menjaga kesempurnaan dan kesahihan solat. Kesempatan ini wajar dimanfaatkan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan.

 

  1. Malam al-Qadar

Salah satu keistimewaan terbesar Ramadan ialah kehadiran Lailatul Qadar, malam yang nilainya mengatasi seribu bulan. Allah SWT sendiri menegaskan perkara ini dalam Surah al-Qadr ayat 3, bahawa Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

Rasulullah SAW turut mengingatkan keagungan malam ini sebagaimana sabdanya: “Barang siapa yang beribadah pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR. Bukhari, no. 1901; Muslim, no. 760).

Pada malam yang penuh kemuliaan ini, doa-doa yang dipanjatkan berada sangat hampir kepada penerimaan, manakala pintu keampunan dibuka seluas-luasnya. Justeru, umat Islam digalakkan memperbanyakkan doa dan ibadah pada malam-malam terakhir Ramadan agar peluang yang amat berharga ini tidak berlalu begitu sahaja.

 

Sebagai kesimpulannya, Ramadan adalah bulan terbaik untuk memperbanyakkan doa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dengan memahami waktu-waktu mustajab ini, setiap individu boleh mengatur ibadah dan doa mereka dengan lebih berkesan. Manfaatkan setiap peluang yang ada dan jadikan Ramadan kali ini lebih bermakna dengan doa yang penuh pengharapan dan keikhlasan.

Must Watch Video