Skip to main content

Bisnes

Hadiah sebuah rumah bernilai RM450,000 menanti peserta Mat Moto Day vol 2

KESS MOTO DAY
KESS selaku penaja utama Mat Moto Day menaja RM1 juta bagi menjayakan penganjuran Mat Moto Day yang bakal berlangsung pada 9 dan 10 Oktober nanti di Lembah Sireh, Kota Bharu. - Foto KESS
Advertisement

KOTA BHARU: Sebuah rumah bernilai RM450,000 menanti pemenang cabutan bertuah pada penganjuran Mat Moto Day volume 2 pada 9 dan 10 Oktober depan.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Emas Seri Semantan Sendirian Berhad, Shaaini Md Jumaat, selain rumah, sebuah kereta Mecerdes Benz dan hadiah-hadiah lumayan lain dengan nilai keseluruhan berjumlah RM 1 juta menanti pemenang cabutan bertuah di Mat Moto Day nanti.

Katanya, Kedai Emas Seri Semantan (KESS) selaku penaja utama Mat Moto Day menaja RM1 juta bagi menjayakan penganjuran Mat Moto Day yang bakal berlangsung di Lembah Sireh, di sini.

Image
KESS MOTO DAY
Penyertaan 100,000 motosikal disasarkan pada penganjuran Mat Moto Day kali ke-2 ini. - Foto KESS

"Dalam melebarkan lagi pasaran perniagaan di kalangan komuniti, KESS melangkah setapak lagi dengan menyumbangkan sejumlah RM1 juta bagi menjayakan penganjuran Mat Moto Day volume ke 2.

"Sumbangan berkenaan bertujuan meraikan komuniti permotoran negara tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur sejajar hasrat KESS memperkukuhkan ukhuwah di kalangan peminat motosikal dalam negara.

"Kita melihat Mat Moto Day satu perhimpunan yang menghimpunkan geng motor dan ianya bertepatan dengan visi kami di KESS untuk membantu memperkukuhkan lagi komuniti terutama dalam bidang permotoran," katanya semasa sidang media selepas majlis serahan penajaan Mat Moto Day vol 2 di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.

Shaaini berkata, KESS melihat kejayaan penganjuran pertama itu sebagai dorongan untuk turut sama pada penganjuran kali kedua ini.

"Ini kali pertama KESS terlibat dalam penganjuran kumpulan permotoran ini dan ianya bermula selepas melihat kejayaan penganjur Mat Moto Day yang menganjurkan perhimpunan kali pertama lalu berjaya menarik 60,000 orang peserta.

 

Image
KESS MOTO DAY
Suasana di sekitar majlis serahan penajaan Mat Moto Day vol 2, di sini, pada Sabtu. - Foto KESS

"Impaknya yang pertama adalah penjenamaan, kalau secara asasnya golongan permotoran yang rata-ratanya golongan muda di mana kita hendak bawa impak pertamanya, biar golongan muda ini tahu konsep penyimpanan emas yang betul sebab di Moto Day ada reruai untuk kita sasarkan mereka supaya tahu selok belok-emas dan di situ KESS ada kemahiran yang boleh kita kongsikan bersama-sama.

"Kita percaya apabila anak muda didedahkan dengan selok-belok simpanan dan pelaburan emas, mereka akan tertarik dan turut sama dalam komuniti perniagaan dan pelaburan emas yang kelak akan memberi kelebihan kepada KESS," jelasnya.

Sementara itu, penganjur Mat Moto Day, Muhamad Ariff Mustapa berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan 100,000 motosikal pada Mat Moto Day kali ke-2 itu.

"Penganjuran Mat Moto Day 1.0 lalu mencapai sasaran dengan lebih 60,000 peserta hadir ke perhimpunan berkenaan"

"Jadi penganjuran kali kedua pada 9 dan 10 Oktober depan, kami percaya dapat mencapai sasaran 100,000 orang peserta. Saya lihat di Kelantan sambutan amat menggalakkan selain ramai peminat motosikal.

"Selain itu matlamat kami juga untuk melihat kebersamaan dan persahabatan di kalangan peserta yang datang dari segenap tempat," ujarnya.

Image
KESS MOTO DAY
KESS melihat kejayaan penganjuran pertama dengan lebih 60,000 peserta hadir sebagai dorongan bagi penganjuran kali kedua ini. - Foto KESS

Pada penganjuran Mat Moto Day kali kedua nanti, pelbagai  aktiviti akan berlangsung.

Bagi mereka yang ingin menyertainya, mereka perlu membeli sehelai baju yang melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah berkenaan.

Baju berkenaan akan mulai dijual pada Isnin (14 Sept) sehinggalah 9 Oktober nanti.

Must Watch Video

Advertisement