MERSING: Semangat patriotik dan kreativiti warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing dizahirkan menerusi penghasilan Arca Jalur Gemilang gergasi di pintu masuk Kompleks Perumahan Polis, Jalan Jemaluang di sini dengan menggunakan 1,400 botol mineral terpakai.
Ketua Polis Daerah Mersing Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata penghasilan arca itu dilaksanakan secara berperingkat dengan penglibatan kira-kira 200 penghuni kediaman itu termasuk pegawai, anggota dan ahli keluarga mereka.
Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja menyemarakkan patriotisme dalam kalangan warga IPD dan penduduk setempat malah menyokong usaha memelihara kelestarian alam sekitar.
“Proses pemasangan mengambil masa dua hari dan siap sepenuhnya pada 17 Ogos lepas... ia bukan sekadar replika tetapi simbol semangat kerjasama, perpaduan dan usaha kitar semula demi kelestarian alam,” katanya kepada Bernama.
Abdul Razak berkata sambutan Bulan Kebangsaan yang berlangsung ketika musim cuti sekolah dijangka menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke daerah pelancongan lestari itu.
"...meskipun diperbuat daripada bahan kitar semula namun kita berharap setiap orang yang menyaksikan arca ini dapat bersama-sama menghayati erti kemerdekaan sebenar," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 116 warga IPD termasuk anggota Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) telah menyertai program pendakian Gunung Arong dan mengibarkan 69 bendera di puncak gunung berkenaan, Ahad lepas.
Abdul Razak berkata ini adalah kali kedua program itu dianjurkan selepas edisi pertama pada 2024 bagi menyemai semangat cintakan negara di samping memupuk kerjasama dan kegigihan dalam kalangan peserta.
"Ada peserta yang walaupun tahun depan dah nak pencen tetapi dia tetap berusaha untuk sampai dan bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Arong,” katanya.
Beliau berkata program itu antara lain bertujuan mempromosikan Gunung Arong sebagai lokasi pelancongan ekologi di samping mengetengahkan konsep pendakian selamat dengan mendapatkan khidmat malim gunung dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi memastikan keselamatan setiap peserta.
IPD Mersing turut menghasilkan formasi angka “69” di pekarangan ibu pejabat polis daerah itu pada Rabu, yang dirakam menggunakan dron sebagai simbolik sambutan ulang tahun ke-69 kemerdekaan negara.
Formasi itu adalah tradisi yang telah dilaksanakan sejak tahun 2023.
Sementara itu, penghuni Blok Anggerik kompleks perumahan berkenaan, Nur Ain Salleh, 34, berkata persiapan menghias kawasan perumahan bagi sambutan Bulan Kebangsaan telah dimulakan sejak awal bulan ini.
"Aktiviti menghias kawasan perumahan sememangnya dilakukan setiap tahun tetapi apabila kami tahu tahun ini ada pertandingan, kami jadi lebih bersemangat," katanya yang telah menetap di perumahan berkenaan selama 11 tahun.
-- BERNAMA