Ringkasan AI
- Pelukis OKU Rosemary Yvonne Marcus hanya memperoleh pendapatan sekitar RM80 sebulan akibat kekangan saluran pemasaran karya seni.
- Karya Rosemary pernah mendapat perhatian Sultan Pahang dan dijadikan cenderamata khas kepada Yang Dipertua Negeri Sabah.
- Beliau berhasrat membuka galeri seni sendiri di Telupid namun berdepan kekangan dana dan memerlukan bantuan peralatan melukis.
KOTA KINABALU: Walaupun mampu menghasilkan karya seni bernilai tinggi, seorang pelukis Orang Kurang Upaya (OKU) yang juga anak jati Telupid hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM80 sebulan akibat kekangan saluran pemasaran.
Malah, karya Rosemary Yvonne Marcus, 45, yang berdepan keterbatasan komunikasi dan pendengaran itu pernah mendapat perhatian Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 2023 ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Adik kepada Rosemary Yvonne, Mary Ann Marcus berkata bakat seni kakaknya itu sebenarnya berpotensi besar untuk dikomersialkan sebagai sumber ekonomi yang mampan.
“Lukisan Rosemary Yvonne menggunakan cat akrilik dan minyak yang dijual pada harga berbeza-beza mengikut saiz, jenis cetakan serta perincian sesebuah karya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kakaknya yang menghadapi masalah pendengaran dan pertuturan itu mula memupuk minat mendalam terhadap bidang seni lukisan sejak berusia sembilan tahun.
Buat masa ini, semua urusan promosi dan saluran pemasaran diuruskan sepenuhnya oleh Mary Ann yang turut bertindak sebagai penterjemah rasmi pelukis tersebut.
Mary Ann berkata lukisan berkenaan biasanya dijual semasa pameran tempatan atau diiklankan menerusi aplikasi WhatsApp kepada rakan-rakan yang berminat.
Beliau berkata Al-Sultan Abdullah ketika itu turut berkenan membeli tiga lukisan memaparkan potret baginda bersama Raja Charles III United Kingdom serta potret bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Lukisan lain bertajuk “Kota Jesselton Merentas Masa” juga telah dijadikan cenderamata khas kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman sempena ulang tahun kelahiran rasmi ke-74.
Pelukis berbakat itu juga pernah menghasilkan karya memaparkan potret pelakon antarabangsa Tan Sri Michelle Yeoh serta Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.
Rosemary Yvonne turut melukis pelbagai karya bertema unik seperti "Raraa" yang memaparkan gadis berpakaian tradisional Kadazandusun, lukisan ikan "Yin dan Yang", "Rumandawi" dan "Moonderland".
Mary Ann berkata kakaknya kini menyimpan hasrat untuk memiliki galeri seni sendiri di daerah kelahirannya di Telupid dengan memerlukan anggaran modal sebanyak RM50,000.
Katanya, hasrat utama penubuhan galeri seni itu adalah untuk menjadikannya sebagai ruang pemasaran tetap bagi hasil karya kakaknya dan rakan-rakan pelukis tempatan yang lain.
Bagaimanapun, perancangan bernilai puluhan ribu ringgit itu masih belum dapat direalisasikan kerana berdepan kesukaran untuk mendapatkan dana atau tajaan.
Selain isu dana galeri, Mary Ann melihat terdapat keperluan mendesak bagi kakaknya mendapatkan bantuan dari segi kelengkapan peralatan melukis untuk menghasilkan karya yang lebih baik.
Mary Ann berkata beliau amat berharap lebih ramai pihak sudi tampil menyediakan ruang pameran di kawasan tumpuan pengunjung bagi membantu pelukis OKU menjana pendapatan yang lebih stabil dengan orang ramai yang ingin menyokong karya seni pelukis istimewa tersebut boleh menghubunginya di talian 019-8404899.
-- BERNAMA