Skip to main content

Malaysia

Jerawat bukan sekadar masalah kosmetik, dapatkan rawatan jika perlu

Adobe Stock
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengguna supaya sentiasa memantau tindak balas kulit terhadap produk yang digunakan dan segera menghentikannya sekiranya berlaku masalah. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jerawat bukan sekadar masalah kosmetik, sebaliknya diklasifikasikan sebagai penyakit kulit yang mungkin memerlukan rawatan, bergantung kepada kesannya terhadap individu.

Pakar Perunding Dermatologi UKM Specialist Centre (UKMSC), Prof. Dr. Adawiyah Jamil berkata, keperluan mendapatkan rawatan tidak semestinya bergantung kepada jumlah jerawat yang dialami seseorang.

Menurutnya, jerawat boleh memberi kesan terhadap kesihatan psikologi, termasuk menjejaskan keyakinan diri dan interaksi sosial, sama ada bersama rakan, rakan sekerja mahupun ketua.

Beliau berkata, terdapat individu yang hanya mengalami sebiji jerawat tetapi kesannya terhadap emosi begitu besar sehingga enggan keluar dari bilik, manakala ada yang mengalami jerawat lebih banyak tetapi tidak menganggapnya sebagai masalah.

“Jadi kalau jerawat itu menyebabkan masalah, tak kisah dari segi masalah yang bagaimana pun, dia memerlukan rawatan,” katanya dalam AWANI Pagi pada Selasa. 

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu terpengaruh dengan trend penjagaan kulit yang menawarkan rutin berbilang langkah.

Katanya, bagi individu yang mempunyai kulit normal, asas penjagaan kulit hanya memerlukan tiga perkara iaitu pencuci muka, pelembap dan pelindung matahari (sunscreen).

Bagi mereka yang mempunyai masalah kulit seperti jerawat pula, pemilihan produk perlu disesuaikan dengan keadaan kulit, termasuk menggunakan produk yang sesuai untuk kulit mudah berjerawat atau acne-prone skin.

Beliau berkata, rutin penjagaan kulit yang melibatkan tujuh hingga 15 langkah pula lebih kepada trend semasa seperti glowing skin dan glass skin.

“Kalau nak mengikut trend, tidak menjadi masalah. Boleh ikut trend. Kalau kita nak buat masa sekarang glowing skin, glass skin, kita nak juga sebab trendnya macam itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengguna supaya sentiasa memantau tindak balas kulit terhadap produk yang digunakan dan segera menghentikannya sekiranya berlaku masalah.

Beliau menegaskan, perkara paling penting bukan jumlah langkah dalam rutin penjagaan kulit, sebaliknya memastikan produk yang digunakan bersesuaian dengan keperluan dan keadaan kulit masing-masing.

Must Watch Video

Advertisement