Skip to main content

Malaysia

Kedai kayu era 1930-an jadi saksi sejarah Kuala Dungun

Sebahagian pekerja menjalankan rutin harian di sebuah bangunan kedai kayu ketika tinjauan di Kuala Dungun, Dungin, 8 Okt 2026. --fotoBERNAMA
Sebahagian pekerja menjalankan rutin harian di sebuah bangunan kedai kayu ketika tinjauan di Kuala Dungun, Dungin, 8 Okt 2026. --fotoBERNAMA

Advertisement

DUNGUN: Deretan kedai dua tingkat yang diperbuat daripada kayu atau lebih dikenali sebagai ‘kedai kayu’ di Kuala Dungun di sini, yang masih bertahan sehingga kini bukan sekadar tinggalan seni bina tradisional, malah menjadi saksi sejarah sebuah bandar yang pernah menjadi nadi perdagangan dan kegiatan ekonomi daerah ini.

Bangunan kayu berkenaan yang dibina pada 1933 mempunyai ciri keaslian seni bina tradisional termasuk penggunaan kayu pada struktur utama dan tingkap walaupun sebahagiannya telah melalui pengubahsuaian mengikut keperluan perniagaan semasa.

Seorang peniaga yang merupakan penduduk Kuala Dungun, Ang Ah Kiang, 76, berkata kewujudan bangunan tersebut berkait rapat dengan sejarah Kuala Dungun yang berkembang daripada kawasan perkampungan nelayan kepada sebuah bandar perdagangan penting.

Peranan Kuala Dungun kemudian berubah apabila kegiatan ekonomi semakin rancak, susulan perkembangan pesat industri perlombongan bijih besi di Bukit Besi, khususnya pada 1930-an hingga 1960-an sebelum lombong berkenaan ditutup pada 1970.

"Perkembangan ekonomi itu secara tidak langsung merancakkan kegiatan perdagangan di Kuala Dungun termasuk kemunculan pelbagai kedai yang membekalkan keperluan penduduk dan pekerja," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Ang berkata kedai yang dibina menggunakan struktur kayu yang masih beroperasi itu membolehkan masyarakat hari ini melihat kesinambungan antara kegiatan perdagangan di Kuala Dungun pada masa dahulu dengan kegiatan perniagaan pada masa ini.

Selain itu, terdapat juga kedai kayu di kawasan Kuala Dungun yang dibina selepas tahun 1930 hingga 1960.

Image
DUNGUN, 8 Okt - Pekerja menjalankan rutin harian di sebuah bangunan kedai kayu ketika tinjauan di Kuala Dungun hari ini.  Deretan kedai dua tingkat yang diperbuat daripada kayu atau lebih dikenali sebagai "'kedai kayu "' di Kuala Dungun di sini yang masih bertahan hingga kini bukan sekadar tinggalan seni bina tradisional malah menjadi saksi sejarah sebuah bandar yang pernah menjadi nadi perdagangan dan kegiatan ekonomi daerah ini.  Bangunan kayu berkenaan yang dibina pada 1933 mempunyai ciri keaslian seni b
Pekerja menjalankan rutin harian di sebuah bangunan kedai kayu ketika tinjauan di Kuala Dungun, 8 Okt 2026. --fotoBERNAMA

Secara keseluruhannya terdapat kira-kira 100 unit kedai kayu yang dibina dalam tempoh tersebut, dan premis berkenaan kini menempatkan pelbagai jenis perniagaan termasuk restoran, kedai perkakasan, barangan elektrik, motosikal, plastik, kedai runcit dan kedai gambar.

Sementara itu, seorang peniaga restoran Mohd Kamal Hamid, 59, berkata dia menyewa kedai yang berusia lebih 90 tahun ini sejak 1986 dan sebelum itu bapanya menyewa premis berkenaan dari 1980 lagi.

Walaupun kedai kayu yang disewa RM1,200 sebulan itu telah melalui beberapa pengubahsuaian, namun struktur asal kedai berkenaan masih dikekalkan.

"Saya difahamkan pemilik asal kedai kayu ini merupakan bekas pekerja syarikat perlombongan bijih besi di Bukit Besi dan bangunan ini dibeli kira-kira pada tahun 1930-an," katanya.

Selain itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata pada 1933, Pejabat Daerah Dungun menyusun semula bandar Kuala Dungun dengan mewujudkan lot-lot kedai kayu sebagai pusat perniagaan bagi menampung perkembangan aktiviti perdagangan di kawasan berkenaan.

Image
DUNGUN, 8 Okt - Deretan kedai dua tingkat yang diperbuat daripada kayu atau lebih dikenali sebagai "'kedai kayu "' di Kuala Dungun di sini yang masih bertahan hingga kini bukan sekadar tinggalan seni bina tradisional malah menjadi saksi sejarah sebuah bandar yang pernah menjadi nadi perdagangan dan kegiatan ekonomi daerah ini.  Bangunan kayu berkenaan yang dibina pada 1933 mempunyai ciri keaslian seni bina tradisional termasuk penggunaan kayu pada struktur utama dan tingkap walaupun sebahagiannya telah mela
Deretan kedai dua tingkat yang diperbuat daripada kayu atau lebih dikenali sebagai 'kedai kayu' di Kuala Dungun yang masih bertahan hingga kini. --fotoBERNAMA

Pada masa itu, masyarakat Cina semakin ramai mendiami Kuala Dungun dan mereka membeli tanah serta kedai kayu yang baru disiapkan. 

"Penduduk Melayu yang tinggal di Kuala Dungun dipindahkan ke kampung baru yang lebih selesa, iaitu Kampung Tanah Lot," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata orang Cina berketurunan Hokkien di China Selatan telah mula berhijrah di daerah ini lebih awal pada 1922 dan kebanyakan mereka menetap di pinggir muara kuala Sungai Dungun.

"Mereka datang untuk membuka kedai-kedai perniagaan seperti kedai runcit, hasil laut, dan getah serta kelompok berkenaan kemudiannya mendominasi bangunan kedai kayu di Kuala Dungun setelah bandar tersebut disusun semula pada 1933," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement