KUALA LUMPUR: Kesejahteraan psikologi perlu diiktiraf sebagai keutamaan keselamatan tempat kerja dan kesihatan pekerjaan dalam perkhidmatan awam, seiring dengan perlindungan pekerja daripada bahaya fizikal, menurut Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan).
Ikatan dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa langkah itu penting, susulan 55,169 penjawat awam yang menjalani saringan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD), dikategorikan sebagai berisiko tinggi termasuk risiko berkaitan tingkah laku bunuh diri.
Menurut kenyataan itu, walaupun angka tersebut mewakili kurang satu peratus daripada 1.7 juta penjawat awam di negara ini, ia amaran serius bahawa isu kesejahteraan psikologi tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara peribadi atau isu sekunder dalam perkhidmatan awam.
Bagaimanapun, Ikatan menegaskan keputusan saringan itu mesti ditafsirkan secara bertanggungjawab kerana dikategorikan sebagai “berisiko tinggi”, tidak semestinya menunjukkan seseorang itu mempunyai diagnosis klinikal bagi gangguan mental.
“Sebaliknya, ia isyarat amaran yang sepatutnya mendorong kepada sokongan, penilaian dan intervensi sewajarnya, diberikan tepat pada masanya serta secara sulit,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Ikatan mengalu-alukan inisiatif Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperkukuh sokongan psikologi, menyediakan garis panduan kesihatan mental dan memperkenalkan Indeks Kebahagiaan, namun langkah berkenaan perlu dilaksanakan secara praktikal di setiap kementerian, jabatan serta agensi kerajaan.
Antara keutamaan yang dicadangkan Ikatan ialah menjadikan intervensi awal sebagai amalan biasa, dengan pegawai yang dikenal pasti berisiko menerima sokongan secara sulit, profesional dan segera, termasuk dirujuk untuk penilaian lanjut sekiranya perlu.
“Kedua, pengurus dan ketua jabatan diberi latihan untuk mengenal pasti tanda-tanda amaran serta bertindak sewajarnya terhadap tekanan, kelesuan kerja, keresahan, kemurungan, buli di tempat kerja dan risiko psikososial lain tanpa mengasingkan atau menghukum pekerja terjejas,” katanya.
Ikatan berkata, kesihatan mental juga perlu diserapkan dalam program keselamatan dan kesihatan pekerjaan, dengan bahaya psikologi dinilai seiring dengan bahaya fizikal, manakala kerahsiaan dan kepercayaan perlu diberi keutamaan, bagi memastikan penjawat awam berasa selamat untuk mendapatkan bantuan tanpa bimbang menjejaskan kerjaya, reputasi atau peluang pekerjaan mereka.
Pada masa sama, aspek pencegahan perlu diberi perhatian sama seperti rawatan, dengan faktor seperti beban kerja, waktu bekerja yang panjang, buli di tempat kerja, kekurangan kakitangan, ketidakkeseimbangan kehidupan dan kerjaya serta budaya organisasi yang menyumbang kepada tekanan psikologi.
Ikatan turut mencadangkan supaya setiap kementerian dan agensi mewujudkan pelan tindakan kesihatan mental yang jelas, termasuk akses kepada sokongan psikologi terlatih, mekanisme sokongan rakan sekerja, penilaian risiko psikososial secara berkala serta saluran yang jelas bagi intervensi segera.
Pertubuhan itu menggesa kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh dengan memberi keutamaan kepada kesejahteraan psikologi sebagai elemen penting perkhidmatan awam yang selamat, sihat dan berdaya tahan.
-- BERNAMA