PASIR PUTEH: Minat mendalam terhadap persembahan seni wayang kulit sejak kecil mendorong Muhammad Airell Amsyar Anuar, 19, menghasilkan pelbagai karakter patung wayang kulit.
Anak bongsu daripada tiga beradik dari Kampung Banggol Pak Esah itu berkata beliau mula berjinak-jinak menghasilkan patung wayang kulit ketika masih bersekolah sebelum mula menerima tempahan pada usia 15 tahun.
Beliau berkata bagi menghasilkan corak pada patung wayang kulit, beliau menggunakan kira-kira 20 jenis paku yang ditempah khas seperti kuku, budu, Siam dua, bunga Jawa dan bunga Bismillah untuk membentuk corak.
"Antara patung yang mendapat permintaan ialah 'Seri Rama', 'Seri Dewi', 'Wok Long' dan 'Pok Dogol', dengan harga dijual antara RM150 hingga RM700.
"Setakat ini saya mendapat tempahan dari seluruh negara. Ada yang tempah patung wayang kulit ini untuk digunakan dalam persembahan wayang kulit dan ada juga yang menjadikannya sebagai perhiasan mahupun sekadar hobi," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Banggol Pak Esah di sini baru-baru ini.
Muhammad Airell Amsyar berkata tempoh untuk menyiapkan patung bergantung kepada saiz dan kerumitan reka bentuk, dengan tempoh paling singkat kira-kira dua hari manakala paling lama boleh mencecah seminggu.
Beliau berkata proses menghasilkan patung wayang kulit bermula dengan penyediaan kulit lembu atau kambing yang perlu dijemur kira-kira seminggu, namun kini lebih banyak membeli kulit yang sudah siap diproses bagi menjimatkan masa.
"Pelanggan biasanya memberikan gambar atau karikatur watak yang dikehendaki sebelum gambar itu disalin dan ditekap pada kulit bagi memudahkan proses membentuk dan menebuk.
"Pemilihan kulit pula bergantung kepada watak. Kulit lembu biasanya digunakan untuk watak yang lebih agresif dan tidak mudah patah seperti 'Hanuman', 'Ratu' dan watak pengasuh, manakala kulit kambing digunakan untuk watak seperti 'Seri Rama', 'Seri Dewi' dan 'Radin'," katanya.
Beliau berkata selepas selesai proses menebuk corak, bahagian badan patung akan dipasang batang buluh sebelum diikat dan disapu cat jernih sebagai lapisan asas.
"Selepas itu barulah saya mula mewarnakan patung mengikut watak. Bahagian mengecat agak rumit kerana bahagian depan dan belakang perlu mempunyai warna yang sama. Jika tersilap saya perlu mencanai semula untuk membuang warna yang tersilap," katanya.
Minat tersebut dipupuk menerusi bimbingan arwah bapa saudaranya, Mohd Nor Salleh, 65, yang turut berpengalaman sebagai pembuat karakter wayang kulit, termasuk mengajarnya asas menghasilkan patung.
"Minat untuk berkecimpung dalam seni pembuatan wayang kulit ini mula timbul sejak saya masih bergelar kanak-kanak apabila sering kali melihat bapa saudara membuat patung wayang kulit.
"Lama kelamaan minat ini semakin bercambah sehingga saya mula memberanikan diri mengambil tempahan awal dari kenalan serta jiran terdekat untuk membuat patung wayang kulit tersebut," katanya.
Pemilik akaun Tiktok Airell_SP_Official itu berkata selain mahir menghasilkan patung wayang kulit, beliau turut aktif membuat persembahan wayang kulit dengan memegang watak sebagai 'Tok Dalang'.
Katanya, beliau mengambil masa kira-kira empat tahun untuk menguasai kemahiran persembahan wayang kulit itu, selain turut bergiat aktif bermain serunai dan pernah menerima tempahan persembahan untuk acara seni itu.
"Saya berharap kemahiran yang dimiliki ini dapat terus dikembangkan sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.
“Ini sekali gus memastikan seni pembuatan patung ayang kulit tidak pupus ditelan zaman, sebaliknya terus dikenali dan dipelajari oleh generasi muda pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA