Skip to main content

Malaysia

Perkahwinan lewat, kos sara hidup antara faktor kadar kesuburan menurun

61508926718_KahwinMuda.jpg
Kecenderungan generasi muda melambatkan perkahwinan turut memendekkan tempoh pasangan untuk mempunyai anak. - Gambar hiasan
Advertisement

KOTA BHARU: Perkahwinan lewat, peningkatan kos sara hidup dan penangguhan kehamilan antara faktor yang menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan di Malaysia.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) negara menurun daripada 2.1 anak pada 2010 kepada 1.6 anak pada 2022.

Beliau berkata kecenderungan generasi muda melambatkan perkahwinan turut memendekkan tempoh pasangan untuk mempunyai anak, dengan usia perkahwinan wanita kini meningkat kepada sekitar 27 tahun berbanding 24 tahun kira-kira 20 tahun lepas, manakala lelaki sekitar 30 tahun.

“Pasangan juga cenderung menangguhkan kehamilan, sedangkan tahap kesuburan wanita adalah antara usia 15 hingga 49 tahun dan mula menurun selepas usia 35 tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 di Institut Pengurusan Peladang Panji di sini hari ini.

Abdul Shukur berkata Malaysia dijangka memasuki status negara menua pada 2036, sekali gus memerlukan ekosistem sokongan yang menyeluruh bagi memastikan penuaan yang sihat dan pembentukan keluarga yang kukuh dapat bergerak seiring.

Beliau berkata Kelantan mempunyai kira-kira 1.91 juta penduduk pada 2025, dengan 219,000 orang atau 11.5 peratus berusia 60 tahun dan ke atas, manakala 578,500 orang atau 30.6 peratus terdiri daripada golongan muda berusia 15 hingga 30 tahun.

“Perkembangan demografi ini menunjukkan Kelantan perlu memastikan warga emas menikmati penuaan yang sihat, selain menyediakan persekitaran kondusif bagi golongan muda membina kehidupan dan keluarga,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement