Skip to main content

Malaysia

Selepas sedekad, CULTRA kini antara pentas larian denai global

[TB]_Cameron Ultra_FB Cameron Ultra
- Facebook Cameron Ultra
Advertisement

CAMERON HIGHLANDS: Hanya gerbang buluh buatan tangan yang diikat menggunakan tali menjadi penanda garisan permulaan dan penamat ketika Cameron Ultra Trail (CULTRA) diperkenalkan di Cameron Highlands pada 2016.

Sedekad kemudian, perlumbaan itu berkembang menjadi antara acara “ultra-trail” utama di Malaysia, menarik penyertaan 3,600 pelari dari 33 negara pada tahun ini, selain memainkan peranan penting dalam membentuk budaya larian denai di negara ini.

Sepanjang tempoh 10 tahun, CULTRA bukan sahaja berkembang sebagai sebuah perlumbaan denai, malah menjadi platform yang menghimpunkan pelari, sukarelawan dan komuniti setempat, di samping mengukuhkan reputasi Cameron Highlands selaku antara destinasi pelancongan sukan terkemuka di rantau ini.

Edisi ulang tahun ke-10 yang berlangsung dari 16 hingga 19 Julai itu mendapat sambutan luar biasa apabila semua slot penyertaan habis ditempah dalam tempoh kurang enam jam selepas pendaftaran dibuka. Kira-kira 70 peratus peserta terdiri daripada rakyat Malaysia, manakala bakinya, 30 peratus, ialah pelari antarabangsa, sekali gus mencerminkan peningkatan daya tarikan acara itu di peringkat global.

Dianjurkan oleh BOLT 360 Management Sdn Bhd (BOLT), edisi tahun ini yang secara rasmi dikenali sebagai CULTRA Presented by ASICS 2026 menampilkan lima kategori perlumbaan, iaitu MOSSY100 (100 km), BEREMBUN60 (60 km), HABU30 (30 km), PAUH14 (14 km) dan TANAHRATA4 (4 km).

Bersempena dengan ulang tahun ke-10 penganjurannya, pihak penganjur turut memperkenalkan HABU30-Night, iaitu perlumbaan malam baharu di bawah kategori HABU30 yang menawarkan pengalaman larian denai pada waktu malam, selain memenuhi permintaan peserta yang semakin meningkat.

Bagi Pengarah Media dan Komunikasi BOLT, Azlihana Abdul Rahim, pencapaian terbesar CULTRA bukan terletak pada pertambahan jumlah peserta semata-mata, tetapi pada komuniti yang berjaya dibina sepanjang sedekad penganjurannya, di sebalik peningkatan penyertaan daripada hanya 850 pelari pada edisi sulung kepada 3,600 pelari tahun ini.

"Sejak awal lagi, visi kami bukan sekadar menganjurkan perlumbaan denai. Kami mahu membina sebuah komuniti - yang kami gelar sebagai 'Republic of Trail' - tempat pelari, sukarelawan, kru dan komuniti setempat merasakan mereka sebahagian daripada keluarga. Itulah identiti CULTRA sepanjang 10 tahun ini," katanya kepada Bernama.

Semangat kebersamaan itu turut diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang nyata kepada Cameron Highlands apabila CULTRA menjadi pemangkin utama pelancongan sukan dan menjana pendapatan berjuta-juta ringgit kepada ekonomi tempatan setiap tahun.

Menurut Azlihana, pengusaha hotel dan inap desa merupakan antara pihak yang menerima manfaat paling awal sebaik sahaja tarikh perlumbaan diumumkan kerana para pelari akan segera membuat tempahan penginapan beberapa bulan lebih awal.

Image
Sumber: FB Cameron Ultra
Foto Cameron Ultra 

Sebaik sahaja tarikh perlumbaan diumumkan, hotel dan inap desa antara yang terawal penuh ditempah. Acara ini menyumbang lebih RM12 juta setahun kepada ekonomi Cameron Highlands. Dengan penyertaan pada tahap rekod tahun ini, kami menjangkakan acara selama empat hari ini  menjana lebih RM15 juta serta menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung," katanya.

Di sebalik kejayaan CULTRA ialah proses perancangan rapi yang mengambil masa hampir setahun. Azlihana berkata persiapan bagi edisi seterusnya bermula hampir sebaik sahaja perlumbaan semasa berakhir, dengan setiap aspek dinilai secara menyeluruh bagi memastikan pengalaman yang selamat dan bermakna kepada peserta.

"Selepas CULTRA berakhir, kami berehat seketika sebelum memulakan persiapan untuk edisi berikutnya. Hampir setahun diperlukan untuk merancang kerana setiap perincian amat penting, khususnya aspek keselamatan pelari," katanya.

Mengulas perancangan masa depan, Azlihana berharap legasi CULTRA akan diteruskan oleh generasi baharu penganjur BOLT agar perlumbaan itu terus berkembang dan kekal relevan untuk tahun-tahun akan datang.

Legasi itu sudah mula terserlah menerusi peningkatan penyertaan pelari antarabangsa yang kembali ke Cameron Highlands saban tahun, tertarik dengan laluan perlumbaan yang mencabar serta komuniti larian denai yang akrab.

"Saya pernah menyertai perlumbaan di banyak negara, tetapi CULTRA adalah antara acara yang paling saya nantikan. Acara ini merupakan perlumbaan denai antarabangsa pertama saya pada 2024 dan membuatkan saya berasa bukan sahaja dekat dengan acara ini, malah dengan pelari dari seluruh dunia," kata peserta dari Thailand, Nirodha Ruencharoen.

Walaupun terpaksa menarik diri daripada perlumbaan MOSSY100 tahun ini ketika berada di kilometer ke-77, Nirodha tetap berazam untuk kembali.

"Saya akan kembali tahun depan untuk menyelesaikan apa yang saya mulakan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement