RAWANG: Jenama minuman popular, MOMOYO, terus mengukuhkan kedudukannya di Malaysia menerusi pembukaan kedai utama (flagship) pertama berkonsepkan bakeri di Bandar Tasik Puteri, di sini.
Menampilkan gabungan minuman, pencuci mulut dan produk bakeri yang dibakar segar setiap hari, cawangan baharu itu menawarkan pengalaman yang lebih lengkap kepada pelanggan dalam suasana yang lebih selesa dan moden.
Pengurus Produk dan Latihan MOMOYO Malaysia, Sheikh Nik Azim Sheikh Amizal berkata, pengenalan konsep bakeri itu merupakan langkah baharu syarikat dalam memperluaskan pilihan produk di samping memenuhi permintaan pengguna yang semakin mengutamakan pengalaman santai di kedai makanan dan minuman.
Menurutnya, ruang yang lebih besar dan kepelbagaian menu menjadikan cawangan berkenaan bukan sekadar tempat menikmati minuman kegemaran, malah berpotensi menjadi lokasi pertemuan dan ruang sosial baharu untuk komuniti setempat.
“Pelanggan kini bukan sahaja boleh menikmati rangkaian minuman popular MOMOYO seperti Fruit Tea, Milk Tea dan Ice Cream Series, malah turut berpeluang mencuba pelbagai pilihan bakeri yang disediakan segar setiap hari.
“Konsep ini memberi nilai tambah kepada pengalaman pelanggan dengan menawarkan lebih banyak pilihan makanan dan minuman dalam satu lokasi,” katanya pada majlis perasmian pembukaan kedai tersebut pada Jumaat.
MOMOYO, yang membawa maksud More and More Young, kini mempunyai lebih 1,500 cawangan di seluruh Asia dan terkenal dengan pendekatan Real Food, Real Taste yang menekankan penggunaan bahan segar dalam setiap produk.
Antara produk paling mendapat sambutan ialah siri teh buah segar dan aiskrim yang menjadi identiti utama jenama berkenaan di pelbagai negara.
Dalam pada itu, Sheikh Nik Azim berkata, MOMOYO telah memperoleh pensijilan halal bagi produk sedia ada, manakala proses permohonan pensijilan halal untuk MOMOYO Bakehouse sedang dijalankan.
Beliau menegaskan syarikat komited untuk memenuhi semua piawaian halal yang ditetapkan dan akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai proses tersebut dari semasa ke semasa.
Selain memperluaskan rangkaian produknya, MOMOYO turut membuka peluang francais kepada usahawan tempatan yang berminat menyertai industri makanan dan minuman yang berkembang pesat.
Menurut beliau, syarikat menyediakan latihan komprehensif merangkumi pengurusan operasi, penyediaan produk, pengetahuan jenama serta strategi pemasaran bagi membantu rakan francais membangunkan perniagaan secara lebih berkesan.
Dengan sasaran pengembangan sehingga 600 cawangan di seluruh negara pada masa depan, MOMOYO optimis konsep gabungan minuman, pencuci mulut dan bakeri mampu menarik lebih ramai pengguna serta memperkukuh kehadirannya dalam pasaran Malaysia yang semakin kompetitif.