Skip to main content

Gaya Hidup

Pakar rehabilitasi: Hilang sakit belum tentu pulih sepenuhnya

TB_Rehabilitasi_Janaan AI.jpg
Rehabilitasi bukan sekadar rawatan selepas kecederaan, malah usaha mengembalikan fungsi seseorang sedekat mungkin kepada kehidupan asalnya. - Gambar hiasan/Imej janaan AI
Advertisement

TULANG sudah bercantum. Luka sudah sembuh. Rasa sakit sudah reda. Bagi kebanyakan orang, itu tandanya rawatan sudah selesai.

Tetapi bagi ramai pesakit, di situlah cabaran sebenar baru bermula iaitu untuk tubuh kembali berfungsi dan mendapatkan semula kebebasan melakukan aktiviti harian, daripada berjalan dan memandu hinggalah kembali bekerja atau bersukan.

Menurut Pakar Perubatan Rehabilitasi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Zafefe Abd Rahman, rehabilitasi bukan sekadar rawatan selepas kecederaan, malah usaha mengembalikan fungsi seseorang sedekat mungkin kepada kehidupan asalnya.

“Matlamatnya bukan sekadar sakit itu hilang. Kita mahu pesakit kembali kepada fungsi mereka iaitu boleh bergerak, mengurus diri dan melakukan semula perkara yang penting dalam kehidupan mereka,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mentakrifkan rehabilitasi sebagai intervensi untuk mengoptimumkan fungsi dan mengurangkan ketidakupayaan seseorang dalam interaksinya dengan persekitaran.

Pemulihan bermula lebih awal daripada yang disangka

Keperluan rehabilitasi berbeza mengikut jenis dan tahap kecederaan, kata Dr. Zafefe. Kecederaan muskuloskeletal seperti patah tulang, kecederaan ligamen dan tisu lembut memerlukan pendekatan berbeza berbanding kecederaan neurologi seperti strok atau kecederaan saraf tunjang.

Bagi kes yang lebih serius, pesakit bukan sahaja mungkin menghadapi kesukaran berjalan, malah boleh kehilangan fungsi tangan atau sebahagian tubuh serta mengalami masalah pertuturan dan kognitif.

Justeru, rehabilitasi tidak semestinya menunggu sehingga semua rawatan lain selesai. Dalam kes strok, misalnya, proses rehabilitasi boleh bermula sebaik sahaja pesakit stabil dari sudut perubatan.

Tempoh pemulihan pula berbeza bagi setiap individu. “Ada yang mungkin mengambil masa enam bulan, ada juga yang mengambil masa jauh lebih panjang. Ia bergantung kepada tahap kecederaan dan fungsi yang terjejas,” jelas beliau.

Ini turut menjelaskan salah faham yang sering berlaku di mana ramai menganggap fisioterapi atau rehabilitasi tidak lagi diperlukan sebaik rasa sakit berkurangan. Menurut Dr. Zafefe, ukuran sebenar pemulihan jauh lebih luas: seseorang mungkin sudah boleh berdiri dan berjalan, tetapi masih tidak mampu menaiki tangga, mandi sendiri, memakai pakaian, memandu atau kembali bekerja.

Sebab itulah rehabilitasi boleh melibatkan pelbagai disiplin, antaranya, fisioterapi, terapi cara kerja (occupational therapy), terapi pertuturan serta sokongan psikologi, semuanya mengikut keperluan pesakit.

Setiap pesakit mempunyai sasaran berbeza

Tidak ada satu program rehabilitasi yang sesuai untuk semua, kerana matlamat setiap pesakit berbeza. Bagi seorang pekerja, sasaran mungkin untuk kembali bekerja; bagi atlet, untuk kembali bersukan; bagi warga emas, kejayaan mungkin bermaksud mampu bangun, berjalan dan mengurus diri tanpa bantuan.

Pasukan rehabilitasi boleh menetapkan SMART goals iaitu sasaran yang spesifik, boleh diukur, boleh dicapai, relevan dan mempunyai tempoh masa tertentu.

“Kita perlu tahu apa matlamat pesakit. Kemudian kita rancang rawatan, pantau hasilnya dan lihat sama ada sasaran rehabilitasi itu sudah dicapai,” katanya.

Bagi mereka yang aktif atau gemar bersukan, kembali kepada aktiviti selepas kecederaan perlu dibuat secara berperingkat, berdasarkan jenis kecederaan, intensiti aktiviti dan tahap fungsi semasa, bagi mengurangkan risiko kecederaan berulang.

Rasa sakit juga tidak semestinya bermaksud seseorang perlu berhenti bergerak sepenuhnya. Sebaliknya, jenis dan tahap pergerakan perlu disesuaikan dengan fasa pemulihan serta nasihat profesional kesihatan.

Tubuh pulih, emosi juga perlu dijaga

Kecederaan turut boleh memberi kesan kepada emosi. Individu yang sebelum ini bebas bekerja, memandu atau bersukan mungkin tiba-tiba memerlukan bantuan untuk melakukan perkara asas. Apabila pemulihan tidak berlaku sepantas yang diharapkan, kekecewaan serta kehilangan motivasi boleh menjadi cabaran tersendiri.

Justeru, kata Dr. Zafefe, sokongan psikologi dan rakan sebaya turut memainkan peranan penting. Keluarga, kewangan, tempat kerja dan persekitaran juga boleh menjadi pemudah cara atau sebaliknya, iaitu penghalang kepada proses pemulihan.

Keluarga khususnya perlu berhati-hati agar keinginan membantu tidak menyebabkan pesakit terlalu bergantung kepada penjaga. Jika sesuatu aktiviti masih boleh dilakukan sendiri dengan selamat, pesakit perlu diberi peluang mencubanya. 

“Kita latih dan bimbing mereka untuk membuat sendiri. Jangan sampai kita terlalu membantu sehingga pesakit akhirnya bergantung sepenuhnya kepada penjaga,” katanya.

Proses rehabilitasi bukan tanggungjawab seorang dua tetapi lazimnya ia boleh melibatkan pakar perubatan rehabilitasi, ahli fisioterapi, ahli terapi cara kerja, ahli terapi pertuturan, ahli psikologi, jururawat dan keluarga. Namun, individu paling penting dalam proses ini tetap pesakit sendiri. Pasukan rehabilitasi merancang rawatan dan menetapkan sasaran, keluarga memberi sokongan, tetapi pesakit perlu memahami tujuan program, mengikuti latihan dan terus mengambil bahagian dalam proses pemulihannya.

Kerana ukuran sebenar pemulihan bukan sekadar apabila rasa sakit berakhir, tetapi apabila seseorang mula mendapatkan kembali fungsi, keyakinan, kebebasan dan kehidupannya.

 

Must Watch Video

Advertisement