Ringkasan AI
- Persatuan Demensia Malaysia (DAMAI) menekankan individu dengan demensia masih mampu berkarya jika diberi sokongan dan ruang yang sesuai.
- DAMAI bersama Genting Dementia Care Centre dan Hospital Kuala Lumpur menganjurkan program meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai demensia dan cabaran pesakit serta penjaga.
- DAMAI akan menganjurkan Persidangan dan Mesyuarat Saintifik Tahunan pada 13 November di Monash University untuk perkongsian pengetahuan bidang demensia.
KUALA LUMPUR: Individu yang hidup dengan demensia masih mampu berkarya dan menyumbang kepada masyarakat sekiranya diberikan sokongan serta ruang yang sesuai.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Demensia Malaysia (DAMAI) merangkap penyelidik demensia Universiti Malaya, Nur Atiqah Azman berkata perkara itu antara mesej yang diketengahkan menerusi penglibatan persatuan berkenaan dalam sambutan Hari Alzheimer Sedunia 2026 baru-baru ini.
Menurutnya, DAMAI bekerjasama dengan Genting Dementia Care Centre (GDCC) dalam menyediakan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai demensia.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi stimulasi kognitif yang memberi peluang kepada pengunjung mengenali pendekatan mudah untuk merangsang fungsi kognitif individu yang hidup dengan demensia.
Nur Atiqah berkata kesedaran mengenai demensia perlu dilihat bukan hanya dari sudut kesihatan, malah turut melibatkan kesannya terhadap keluarga, penjaga dan komuniti.
“Individu yang hidup dengan demensia masih mempunyai keupayaan dan kreativiti untuk menyumbang apabila diberikan sokongan serta ruang yang sesuai.
“Sebab itu, kesedaran mengenai demensia bukan sahaja perlu dilihat dari sudut kesihatan, tetapi juga kesannya kepada keluarga, penjaga dan komuniti,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
Beliau berkata antara yang diketengahkan pada program berkenaan ialah produk hasil tangan individu yang hidup dengan demensia di GDCC yang dipamerkan serta dijual kepada pengunjung.
Katanya, pendekatan itu memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri keupayaan dan kreativiti golongan berkenaan.
Program yang dianjurkan bersama Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Klinik Kesihatan Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai demensia serta cabaran yang dihadapi pesakit dan penjaga.
Nur Atiqah berkata isu demensia memerlukan sokongan bersama pelbagai pihak memandangkan kesannya tidak terhad kepada individu yang mengalaminya.
“Demensia bukan sahaja merupakan isu kesihatan, tetapi turut memberi kesan kepada keluarga, penjaga dan komuniti.
“Justeru, ia memerlukan sokongan bersama daripada pelbagai pihak,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, DAMAI bakal menganjurkan Persidangan dan Mesyuarat Saintifik Tahunannya pada 13 Nov depan di Monash University.
Persidangan itu akan menghimpunkan pengamal klinikal, profesional kesihatan dan pelajar bagi berkongsi perkembangan, pengetahuan serta pengalaman berkaitan bidang demensia di Malaysia.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah mesej utama yang diketengahkan oleh Persatuan Demensia Malaysia (DAMAI) sempena Hari Alzheimer Sedunia 2026?
A: DAMAI menekankan bahawa individu yang hidup dengan demensia masih mampu berkarya dan menyumbang kepada masyarakat jika diberikan sokongan serta ruang yang sesuai. - Q: Apakah aktiviti yang dijalankan oleh DAMAI dan Genting Dementia Care Centre (GDCC) untuk meningkatkan pemahaman mengenai demensia?
A: Aktiviti yang dijalankan termasuk sesi stimulasi kognitif dan pameran serta jualan produk hasil tangan individu yang hidup dengan demensia. - Q: Siapakah pihak yang terlibat dalam penganjuran program kesedaran demensia pada 1 Oktober lalu?
A: Program tersebut dianjurkan bersama oleh DAMAI, Hospital Kuala Lumpur (HKL), dan Klinik Kesihatan Kuala Lumpur. - Q: Mengapa isu demensia memerlukan sokongan pelbagai pihak?
A: Isu demensia memerlukan sokongan pelbagai pihak kerana kesannya bukan sahaja kepada individu yang mengalaminya, tetapi juga kepada keluarga, penjaga dan komuniti. - Q: Bilakah dan di mana Persidangan dan Mesyuarat Saintifik Tahunan DAMAI akan diadakan?
A: Persidangan tersebut akan diadakan pada 13 November depan di Monash University.