KUALA LUMPUR: Vivo Malaysia melancarkan telefon pintar terbaharunya, vivo V80 Lite 5G, yang menampilkan bateri berkapasiti besar 10,000mAh serta pelbagai ciri ketahanan yang disasarkan kepada pengguna dengan gaya hidup aktif dan penggunaan harian yang intensif.
Pelancaran peranti itu berlangsung di Lot 10 Bukit Bintang, di sini, pada Khamis dengan penampilan khas pelakon popular, Aedy Ashraf.
Menurut vivo, V80 Lite 5G direka khusus untuk memenuhi keperluan pengguna di Malaysia dengan menggabungkan bateri BlueVolt 10,000mAh dan prestasi yang kekal stabil walaupun digunakan dalam suhu sehingga 45 darjah Celsius.
Katanya, ketahanan bateri peranti itu turut mendapat pengiktirafan di peringkat global apabila mencatat Rekod Dunia Guinness bagi siaran langsung ujian produk elektronik paling lama dengan tempoh 32 jam 37 minit.
“Sebagai peranti pertama dalam siri V yang dilengkapi bateri 10,000mAh, vivo V80 Lite 5G direka untuk menyokong penggunaan sepanjang hari, termasuk navigasi GPS, panggilan kerja dan hiburan tanpa perlu kerap dicas semula.
“Bateri ini menggunakan teknologi anod silikon generasi keempat serta Magic Cube Battery Packaging yang membolehkan reka bentuk peranti kekal nipis sambil menawarkan sehingga 16 jam penggunaan intensif,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.
Bagi memastikan prestasi optimum ketika penggunaan berterusan, peranti berkenaan turut dilengkapi Sistem Penyejukan 3.8K Ultra Large VC yang membantu mengurangkan haba dan memastikan operasi kekal lancar walaupun digunakan dalam persekitaran panas.
Selain itu, teknologi Battery Life Extender membolehkan fungsi penting seperti panggilan kecemasan terus digunakan walaupun kapasiti bateri berbaki hanya satu peratus.
Vivo turut memperkenalkan fungsi Reverse Charging yang membolehkan V80 Lite 5G bertindak sebagai bank kuasa mudah alih untuk mengecas peranti lain seperti fon telinga tanpa wayar ketika dalam perjalanan.
Dalam aspek ketahanan jangka panjang, vivo memaklumkan peranti itu dibangunkan dengan algoritma pengecasan tersendiri dan sistem perlindungan enam lapisan bagi membantu mengekalkan kesihatan bateri dalam tempoh penggunaan yang panjang.
Menurut syarikat itu, teknologi berkenaan mampu memastikan kapasiti bateri kekal sekurang-kurangnya 80 peratus walaupun selepas enam tahun penggunaan.
V80 Lite 5G juga dilaporkan melepasi ujian ketahanan bertaraf ketenteraan serta mempunyai perlindungan terhadap hentakan, termasuk mampu menahan jatuhan dari ketinggian sehingga tiga meter di atas permukaan berkarpet dan satu meter di atas permukaan keras.
Sebagai penambahbaikan akan datang, vivo berkata teknologi Extended RAM akan diperkenalkan menerusi kemas kini perisian bermula 24 September ini bagi menawarkan pengalaman multitugas yang lebih lancar dan peningkatan prestasi keseluruhan.
Vivo V80 Lite 5G kini boleh didapati di pasaran Malaysia dalam warna Afterglow Pink dengan harga bermula RM1,399.