ADA masanya foto ‘selfie’ anda cantik lain macam. Tetapi pada kebanyakan waktu, foto ‘selfie’ anda hanya memperlihatkan wajah anda yang kelam, pipi anda yang tembam dan paras yang suram. Alamak!

Mengapa ini terjadi? Apatah lagi Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang.

Dengan solekan, helaian hijab dan persalinan baju raya serba baru, kami yakin anda tentu mahu kelihatan cantik, tidak kiralah untuk foto ‘selfie’ mahupun ‘wefie’.

Ayuh ikuti panduan penting ini. Pasti ada sesuatu yang boleh anda pelajari. Selamat mencuba!


Tips 1: Gunakan pencahayan semula jadi dekat tingkap



Peraturan pertama dalam seni ‘selfie’ adalah memberikan perhatian yang paling utama pada aspek pencahayaan.

Ya, untuk memperolehi ‘selfie’ yang cantik, anda perlukan pencahayaan yang bagus. Dan pencahayaan yang bagus datangnya daripada cahaya semula jadi, iaitu cahaya matahari.

Ini boleh dianggap sebagai satu formula yang paling penting kerana banyak blogger bersetuju bahawa cahaya matahari adalah ‘beauty product’ terbaik, justeru ia percuma dan anda tidak perlu berbelanja apa-apa untuk mendapatkannya.

Maka untuk memperolehi sumber cahaya asli, anda disaran agar berfoto dekat dengan tingkap yang memberi laluan pada cahaya matahari. Lebih indah dan nostalgik jika anda memanfaatkan foto ‘selfie’ anda dekat tingkap rumah-rumah Melayu tradisional sewaktu anda berhari raya di kampung halaman.

Bukan sahaja nampak ‘mahal’ dan ‘rare’. Foto ‘selfie’ anda itu pasti kelihatan klasik.


Tips 2: Bercanda dengan cahaya matahari di luar rumah




Satu lagi cara lain, anda boleh keluar dari rumah dan berdiri di bawah simbahan cahaya matahari. Tapi awas! Bukan matahari yang panas terik, okey?

Cahaya matahari sebelum jam 8.00 pagi boleh memberikan efek cahaya keemasan yang amat lembut dan cantik untuk foto ‘selfie’ hari raya anda. Sinarnya juga tidak terlalu garang.

Jika cahaya matahari pagi ini jatuh mengenai kulit wajah anda, ia akan membiaskan cahaya yang keemasan, menjadikan kulit anda berkilau-kilau keemasan dan terlihat lebih berseri berbanding biasa.

Jika anda bercadang mahu memanfaatkan cahaya matahari petang pula, anda digalakkan agar merakam foto ‘selfie’ selepas jam 6.00 petang.

Ini adalah tempoh di mana cahaya matahari terbenam (sunset) berserakan pada garis horizon langit lalu menjelmakan efek yang sangat mengasyikkan pada wajah anda.

Bukan itu sahaja, pencahayaan matahari secara semula jadi juga boleh menghilangkan kesan lingkaran gelap (dark circle) pada kantung mata anda.

Hasilnya, mata anda pasti terlihat lebih segar dan bersinar-sinar dalam foto ‘selfie’.


Tips 3: Rahsia sekeping kertas putih



Ini satu lagi rahsia untuk memperolehi foto ‘selfie’ raya yang cantik. Tahukah anda, banyak blogger kecantikan menggunakan sekeping kertas atau kad putih yang besar dan meletakkannya pada bawah dagu semasa ber’selfie’?

Apakah rahsianya? Ya, apabila anda memetik punat telefon bimbit anda untuk merakam foto ‘selfie’, cahaya ‘flash’ yang terhasil daripada telefon bimbit akan terpantul pada kertas atau kad putih tadi.

Lalu, cahaya putih itu akan memberikan satu pantulan cahaya yang boleh mencerahkan lagi kompleksi wajah anda, menjadikan wajah anda kelihatan ‘glowing’, wow!

Bukan itu sahaja, teknik kertas putih ini juga boleh mengurangkan efek dagu berlapis pada foto ‘selfie’ raya anda nanti. Cool bukan?


Tips 4: Rajin gunakan aplikasi untuk mengedit foto



Banyak pakar ‘selfie’ mengakui, ada masanya mereka memang memerlukan bantuan suntingan daripada aplikasi foto tertentu untuk mencantikkan lagi foto ‘selfie’ mereka.

Salah satu aplikasi foto yang paling popular di Instagram adalah ‘filter’ Valencia. Ia menghasilkan foto dengan efek ‘dreamy’ yang amat lembut lagi mengasyikkan.

Malah, tidak salah jika dikatakan ia mampu merubah wajah yang kurang cantik menjadi sangat menarik dan berseri-seri!

Apabila menggunakan aplikasi foto, anda mungkin boleh peruntukan waktu barang 2-3 minit untuk melakukan sedikit kerja-kerja ‘air-brushing’ dan mencerahkan lagi foto tersebut.

Selain ‘filter’ Valencia, ada juga blogger yang menggunakan Facetune yang boleh menyamarkan bentuk wajah yang tidak disukai dan menyerlahkn pula bahagian wajah yang ingin ditonjolkan.

Bukan itu sahaja, ada juga blogger yang memilih Perfect365 and Adobe Photoshop Fix untuk menyunting foto ‘selfie’ mereka.

Dengan bantuan photo editor ini, anda boleh memancungkan hidung yang bulat atau pesek, memutihkan warna gigi yang agak kekuningan, malah meniruskan bentuk dagu yang kembang atau lebar. Hebat bukan?


Tips 5: Buat senaman muka supaya wajah awet muda

Tahukah anda, bukan sahaja badan perlukan senaman? Muka anda itu juga wajar dirangsang untuk ‘bersenam’ kerana itulah kunci kepada kulit wajah yang segar, berseri-seri dan kurang kedutan. Jom kita cuba kaedah ini:


Mengurangkan Efek Mata Sembap

Langkah 1: Tekankan kedua-dua jari hantu (jari tengah) pada penjuru dalam kening. Kemudian, dengan menggunakan jari telunjuk, tekan pula bahagian penjuru luar kening.

Langkah 2: Dongakkan muka anda dengan memandang siling. Buka mata dengan gerakan seakan-akan anda menolak kelopak mata ke atas.

Langkah 3: Ulangi gerakan ini sebanyak 6 kali dan akhiri ia dengan cara memejamkan mata rapat-rapat selama 10 saat.


Tips 6: Dan ini tips paling penting supaya foto 'selfie' cantik dan 'glowing'



Walau apa jua teknik, taktik dan aplikasi edit paling canggih yang boleh anda gunakan untuk mengindahkan lagi hasil akhir foto ‘selfie’ anda, kata kuncinya tetap terletak pada diri anda sendiri – iaitu keyakinan, serta kulit yang cantik, sihat dan berseri-seri dari dalam!

Tidak sukar sebenarnya untuk memperolehi kulit yang sihat, lembut, gebu, jernih dan ‘glowing’.

Ya, untuk mendapatkan kulit yang sihat, segar dan berseri dari dalam, anda digalakkan agar mengambil Vitamin C dan Vitamin E.

Ia boleh dinikmati pada bila-bila masa, di mana sahaja anda berada.

Jadikan ia satu amalan mulai hari ini juga, supaya foto ‘selfie’ anda membuahkan hasil yang anda impikan!