INSIDEN kanak-kanak dua tahun yang ditinggalkan ibunya dalam kereta secara tidak sengaja di tempat letak kereta sebuah kolej kemahiran di Port Dickson semalam menyentuh hati orang ramai.

Sejurus berita itu tersebar, ramai yang bersimpati dengan nasib yang menimpa ibu kanak-kanak berkenaan, namun tidak kurang juga yang mengecam sikap lupa wanita itu.

Seorang doktor perubatan yang juga penulis buku “Cakar Ayam Seorang Doktor” dan ahli Medical Mythbusters Malaysia, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi sembilan tip bagi mengelak kes terlupa anak dalam kereta yang dikongsi di laman Facebooknya.

1. Jangan letak kerusi kanak-kanak di belakang kerusi pemandu. Di situ adalah titik buta (blind spot). Letak di bahagian belakang tempat duduk penumpang agar ia berada dalam ruang pandangan.

2. Sentiasa jadikan amalan untuk memeriksa dalam kabin (termasuk tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk belakang) sebelum mengunci kenderaan anda. Mulakan amalan ini mulai sekarang.

3. Letak patung permainan di kerusi kanak-kanak. Apabila letak anak di dalam kerusi itu, pindahkan patung tersebut di tempat duduk penumpang hadapan. Pilih patung yang besar dan berwarna terang. Patung itu peringatan bahawa anak anda di belakang.

4. Jika anda ada membawa beg susu anak anda bersama, sentiasa letak beg itu di bahagian hadapan. Konsepnya sama seperti tip ketiga. Ia peringatan bahawa anak anda ada di kerusi kanak-kanak di tempat duduk belakang.

5. Letakkan barang yang penting di belakang, bersama anak anda. Contoh: beg kerja, kunci pejabat, tag kerja, atau sebelah kasut anda di ruangan kaki di belakang. Nota: tidak digalakkan memandu tidak berkasut.

6. Letakkan teg/label pada pemegang pintu sebelah pemandu di bahagian luar, yang menandakan anak anda di dalam kereta. Label ini boleh dibeli atau dibuat sendiri menggunakan barangan di rumah.

7. Pesan kepada pihak sekolah atau pengasuh agar menelefon anda jika anak anda tidak tiba ke sekolah atau di rumah asuhan pada masanya. Boleh juga pesan pasangan anda untuk mengingatkan anda, terutamanya jika ada bertukar rutin menghantar anak.

8. Guna peranti atau aplikasi telefon untuk mengingatkan anda bahawa anak anda di dalam kereta. Contohnya: ChildMinder SoftClip atau aplikasi Kars 4 Kids Safety. Nota: harganya tidak murah dan aplikasi memerlukan kereta mempunyai fungsi Bluetooth.

9. Bagi yg selalu guna aplikasi navigasi Waze, boleh pilih untuk hidupkan aturan Child Reminder (Settings>Advanced Settings>General>Child Reminder). Waze akan mengingatkan anda sejurus sampai destinasi.


Pada Rabu, seorang kanak-kanak perempuan dua tahun meninggal dunia selepas empat jam ditinggalkan dalam kereta oleh ibunya di tempat letak kereta sebuah kolej kemahiran di Port Dickson.


Peristiwa sama pernah berlaku pada 19 Julai 2013 di mana seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut akibat lemas kerana ditinggalkan selama enam jam dalam kereta oleh ibunya di sebuah sekolah di USJ4.