BESUT: Meskipun berdepan dengan pelbagai kes kecemasan menjelang musim perayaan ini namun itu tidak menghalang pasukan 'Wira Merah'untuk menghiasi balai mereka dengan nyalaan pelita minyak tanah.

Bagi membangkitkan susana raya seperti berada bersama keluarga seramai 37 pegawai dan anggota bomba dari balai Besut berganding bahu menghiasi tempat mereka bekerja.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, lazimnya setiap kali raya sebahagian penduduk akan memasang pelita baik di kawasan rumah mahupun kampung kerana sambutan Aidilfitri seakan tidak lengkap tanpa cahaya pelita

Justeru, mereka turut memasang pelita di kawasan balai bagi merasai kemeriahan seperti berada di kampung walaupun berdepan dengan kekangan tugas.

"Dekorasi raya yang kami lakukan ini juga adalah sebahagian daripada pertandingan di mana mereka akan diberikan kawasan masing-masing untuk menghiasi lokasi mereka mengikut kreativiti tersendiri.

"Jadi kami mengambil inisiatif ini sedikit sebanyak dapat mengubati rindu kepada mereka khususnya mereka yang bertugas di hari lebaran,"katanya kepada Astro Awani.



Muhammad Azrul Izzham berkata, mereka mula menghiasi balai berkenaan sejak 27 Mac lalu dengan menyediakan pelita yang dihasilkan dari barang terpakai seperti buluh dan sebagainya.

Jelasnya lagi, sebanyak RM300 kos dikeluarkan bagi menghiasi dan menerangi balai dengan lampu pelita.