KULAI: Air Balang RM1 antara yang pasti ditunggu-tunggu pengunjung Bazar Ramadan Temenggong di sini.

Selain harganya yang murah, variasi perisa air pelbagai pilihan yang menarik pastinya menjadi pembuka selera.

Peniaga Air Balang RM1, Mohd Affizi Md Anuar, 39, berkata dia bersama adik beradiknya mula menjual air balang RM1 sejak tujuh tahun lalu.

Uniknya air ini hanya boleh didapati ketika bulan Ramadan sahaja sebagai satu sedekah jariah di bulan mulia.

"Pertamanya memang niat kami untuk bersedekah, tidak kira siapa boleh sahaja datang untuk membeli air ini hanya dengan harga RM1 satu bungkus.

"Pada mula berniaga air balang ketika ramadan tahun 2015, kami menjual air pada harga standart iaitu RM3 sebungkus.

"Tetapi saya rasa tersentuh apabila ada ramai di antara pelanggan kami yang membayar guna duit syiling, ada di antara mereka meminta maaf kerana guna duit syiling.

"Ada juga pelanggan yang berkira-kira mahu beli dua atau tiga bungkus air ketika itu. Dari situ saya terdetik untuk menjual air pada harga yang mampu dibeli semua orang," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Temenggong, di sini.



Menurut Mohd Affizi, dalam sehari dia dapat menjual sehingga 400 bungkus air.

Katanya jenis air akan ditukar setiap hari, bagi memberi pilihan kepada pelanggan.

"Antara air yang dijual ialah air kelapa, teh bunga, blue lemon, bandung cincau, tembikai laici, anggur nata de coco, cincau dan asam boi.

"Ramai juga individu persendirian yang datang sini untuk membuat infak, contohnya mereka beri RM100 untuk disedekahkan 100 bungkusan air kepada pelanggan.

"Alhamdulillah rezeki Allah luas, apabila kita memberi Allah mudahkan urusan dan lapangkan rezeki kami.

"Soal harga barang mentah memang menjadi cabaran tetapi saya percaya, jika kita berbuat baik, Allah akan bantu dengan pelbagai cara,"katanya.