PENGANALISIS popular Apple, Ming-Chi Kuo kini berkongsi jangkaan terbaharu, menyatakan Apple akan mengemas kini kesemua model iPad mereka pada tahun 2024.

Ini adalah termasuk iPad Pro, iPad Air dan juga iPad Mini.

Berbeza berbanding MacBook Pro yang telah dikemas kini dua kali pada tahun 2023 ini, Apple seperti menangguhkan pengenalan iPad berkuasa tinggi baharu untuk tahun ini.

Dengan perkongsian terbaru ini, Apple dijangka memperkenalkannya pada tahun 2024 dengan sejumlah pembaharuan lain.

Ia dijangka iPad Air baharu hadir dengan panel LCD dan mungkin turut hadir dengan skrin bersaiz lebih besar – iaitu 12.9-inci, sementara iPad Pro dijangka hadir dengan cip M3 terbaru, di samping dilengkapi panel OLED.

Ini sekali gus akan menjadikan iPad Pro berkuasa tinggi serta menawarkan kualiti paparan yang sangat baik bersama-sama dengannya.

Apple mungkin memperkenalkan kemas kini iPad Pro dan iPad Air pada awal tahun 2024, dan diikuti kemas kini untuk iPad Mini dan model asas iPad pada pertengahan kedua 2024. -Amanz