Seorang bakal doktor wanita menarik perhatian ramai apabila membuka sebuah restoran yang menyajikan sepenuhnya hidangan Korea Selatan di sini walaupun beliau tidak pernah mengunjungi negara K-Pop itu.

Mariati Qibtiyah Adnan, 26, membuktikan bahawa hobi memasak yang dipupuknya selepas menonton rancangan masakan Korea Selatan, dapat membuka laluan kepadanya untuk membuka 'Uri Jeju Korean Food Restaurant' di Taman Selasih di sini.

Gadis itu, yang pernah melanjutkan pelajaran tiga tahun di Mesir sebelum beralih ke UCSI Terengganu susulan konflik di negara itu, berkata beliau mempelajari ramuan makanan Korea Selatan hanya melalui YouTube.

We open everyday Uri jeju

A post shared by Kulim Koreanfood Store (@uri_jeju) on


"Tidak dinafikan, memang ada orang pelik sebab saya tidak masak hidangan Asia Barat memandangkan saya pernah tinggal di sana. Tetapi bagi saya, paling penting kita buat apa yang minat dan lagi pun, saya memang penggemar makanan Korea Selatan.

"Ketika di Mesir pun, saya sering menghasilkan Gimbab kerana makanan jenis ini mudah dan ringkas disediakan," katanya ketika ditemui pemberita di restorannya hari ini.


Mariati Qibtiyah berkata beliau membuka restoran masakan Korea Selatan di Kulim kerana adanya permintaan tinggi daripada penggemar makanan berkenaan di sekitar daerah ini.

Pada mulanya, beliau berniaga dari rumah sejak September lepas dengan menjual Gimbab secara penghantaran untuk mengisi masa terluang sementara menunggu panggilan menjalani latihan perubatan.

Kini, anak sulung dari lima beradik itu berjaya menguruskan restoran yang mampu memuatkan 20 pelanggan pada satu masa.

Sebagai permulaan, katanya, restoran itu menyediakan menu Tteobokki, Gimbab, Bibimbab, Rabokki, Jjajangmyeon, Dakganjeong dan Yangnyeom Tongdak di samping hidangan sampingan seperti Kimchi dan jeruk lobak putih.

"Saya berpuas hati kerana makanan tersebut mendapat maklum balas yang positif.Walaupun belajar dari YouTube, rata-rata pelanggan yang sudah biasa dengan makanan Korea Selatan memberitahu bahawa rasanya sama seperti di negara itu. Pun begitu, saya tetap melakukan sedikit penyesuaian bagi memenuhi citarasa pelanggan tempatan," katanya.

Our own version of bibimbap

A post shared by Kulim Koreanfood Store (@uri_jeju) on


Mariati Qibtiyah berkata beliau kini mampu menguasai sebahagian besar pembuatan pes yang digunakan dalam menu masakannya.

"Memang agak sukar untuk mendapatkan bahan mentah dan pes bagi masakan Korea Selatan kerana tempat paling dekat bagi mendapatkanya adalah di Pulau Pinang dan ejen di Kuala Lumpur. Jadi, saya ambil pendekatan, belajar sendiri buat pes tersebut," katanya.

Beliau turut bercadang membotolkan Kimchi bagi pasaran tempatan dan luar Kulim terutama di Pulau Pinang dan Sungai Petani sertamerancang menambah menu pada masa hadapan termasuk pencuci mulut di restorannya itu.

"Setiap kali buat penghantaran ke daerah-daerah ini, pelanggan akan tanya tentang Kimchi dan dari situ, saya nampak potensi untuk menjualnya secara botol pada masa terdekat ini," katanya.

-- BERNAMA