Semakin negara menghampiri tanggal keramat 31 Ogos dan 16 September bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan dan Hari Malaysia, seluruh warga Malaysia turut berkongsi harapan untuk tanah air yang tercinta ini.

Bernama menganalisis harapan yang diluahkan oleh warga Malaysia dengan mengajukan soalan-soalan seperti "Apa harapan anda sempena Hari Kebangsaan?" menerusi Facebook.

Jawapan mereka pelbagai dan ada yang mengejutkan! Daripada isu kebersihan tandas awam hinggalah isu keadilan sosial disentuh melalui jawapan-jawapan yang diterima. Bagaimanapun mereka tetap optimis akan masa hadapan negara.

Hentikan rasuah

Menurut seorang pemandu Uber, Hairul Nizam Mohd Hussin, 43, adalah penting untuk negara membanteras gejala rasuah yang menimbulkan tanggapan negatif terhadap negara.

Perkara ini, menurut beliau mempengaruhi pelabur asing yang boleh membawa kepada penutupan operasi di Malaysia yang pasti memberi kesan kepada pasaran pekerjaan dalam negara khususnya dalam sektor profesional.

Pembongkaran skandal dan penangkapan pegawai berhubung dengan kes rasuah oleh Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia menunjukkan ketegasan pihak berkuasa berhubung perkara itu.

Hal ini disokong oleh peguam syariah, Mohd Firdaus Mohd, 35, yang meluahkan pendapat serupa.

“Ini selari dengan konsep ‘good governance’ yang dicanang-canangkan sekian lama oleh pemimpin negara,” ulas beliau.

Bagi usahawan butik perkahwinan, Wan Muhammad Zafuan Wan Abdul Kudus, 27, beliau berharap agar tahap kefahaman integriti meningkat dalam semua lapisan masyarakat dengan menjadikan ia sebagai topik dalam sistem pendidikan bermula dari peringkat akar umbi.

Suasana membesarkan anak

Pandangan mengenai sistem pendidikan dan suasana pembesaran anak turut disentuh beberapa responden. Antaranya Dayang Fatin Nurhazziqah Awang Madzelan, 22, dari Kuching, Sarawak.

“Pendidikan awal kanak-kanak (PAKK) adalah hak mereka (kanak-kanak). Saya berharap PAKK berkualiti dapat dinikmati oleh semua kanak-kanak warganegara Malaysia tanpa mengira berapa jumlah pendapatan keluarga mereka,” kata beliau yang juga siswazah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Ahmad Saifuddin Yusof, siswa PhD dari Besut, Terengganu pula berharap agar bakat dan kepintaran pelajar dapat dieksploitasi melalui bentuk pendidikan yang lebih realistik dan 'membumi’.

Ini penting untuk membina kecerdasan bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga melahirkan pelajar yang lebih matang dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian dalam era yang semakin mencabar.

“Saya berharap mempunyai sebuah negara yang prihatin terhadap ibu bekerjaya yang menyusukan bayi mereka dengan menyediakan persekitaran yang selesa untuk mereka. Yang prihatin terhadap keselamatan dan perkembangan kanak-kanak dengan menyediakan taman asuhan dan pusat penjagaan kanak-kanak di kawasan tempat kerja agar ibu bapa berdekatan dengan anak mereka," komen seorang ibu bekerjaya, Nur Asiah Mohd Shariff, 33 tahun.

Kematangan sosial

Antara topik yang turut disentuh responden adalah berkenaan pengguna dan penggunaan tandas awam. Walaupun nampak remeh, dari satu skop pandang yang lebih luas, ia melambangkan tahap kematangan sosial masyarakat Malaysia.

“Kebersihan persekitaran dan kebersihan tandas memerlukan perubahan mentaliti masyarakat dari kelas ketiga kepada kelas pertama,” kata Mohammad Feroz Mohammad Zaini, usahawan perniagaan dadih.

Pemilik restoran, Zulhilmi Baha dari Kuala Terengganu pula berharap masyarakat tidak membazir makanan agar komuniti yang kurang bernasib baik boleh menikmati makanan yang lebih baik.

Ada juga yang berpendapat langkah mempromosikan kebersihan dapat dimulakan di tempat-tempat sambutan Hari Kebangsaan bersih dari sampah sarap yang menimbun. Merdeka bererti bebas. Jiwa orang yang membuang sampah sesuka hati, belum merdeka, kata beliau.

Mengenai kelangsungan Bahasa Melayu, warga Malaysia yang kini tinggal di Perancis, Zikrullah Ismail berharap usaha memperkukuhkan bahasa kebangsaan dapat terus dipergiatkan agar ia tidak terus dianggap bahasa kelas kedua sekadar bahasa pertuturan harian malah ia harus menjadi bahasa ilmu untuk semua rakyat.

Bertani & akses undang-undang

Buat pengasas portal perkebunan terkenal, kebunbandar.com, Izham Alias berkata, harapan beliau adalah untuk melihat budaya bertani kembali subur dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Harapan saya, agar masyarakat dan pemimpin kembali kepada asas makanan negara. Bertani lah demi kelestarian kemajuan makanan negara”.

Bekas pendebat Universiti Islam Antarabangsa yang kini meneruskan profesion sebagai peguam, Arik Zakri pula berharap agar kerangka bantuan guaman dapat dipertingkat supaya golongan miskin mendapat akses kepada keadilan dan tidak dinafikan hak mereka.

“Saya juga berharap supaya masyarakat, terutamanya masyarakat Melayu, difahamkan dengan hak dan tanggungjawab masing-masing berkenaan soal waris harta pusaka”, tambah beliau.

Peminat sukan berbasikal, Fakhrul Dahri Ahmad, 37, dari Pasir Puteh, Kelantan pula mahu melihat lebih banyak kemudahan laluan berbasikal dibina di seluruh negara dan peningkatan mentaliti sesetengah pemandu yang memandang penunggang basikal sebagai pengguna jalan raya kelas kedua.

Pemilik ‘startup’ Richard Moh pula berharap lebih banyak pihak menghargai industri kreatif.

Kualiti pengangkutan awam disentuh oleh pengamal bidang pelancongan, Shahrizan Ihsan. Beliau berpendapat dengan tambahan laluan bagi sistem transit aliran ringan (LRT) boleh ditambah baik dengan peningkatan kekerapan dan kapasiti perkhidmatan.

Sayangkan negara

Menurut pengamatan penulis, tidak kira teguran positif atau negatif yang diluahkan, ia datang dari satu perasaan yang tulus iaitu rasa sayang terhadap tanah tumpah darah, bumi bertuah ini.

“Saya harap Malaysia akan terus merdeka,” kata pengembara muslimah, Azzah Abdul Rahman.

Pengalaman beliau merantau ke banyak negara mengajarnya erti nilai sebuah kemerdekaan.

Sekecil-kecil harapan yang diluah, ia adalah suara hati rakyat. Suara hati mereka yang mahu melihat negara ini menjadi lebih baik dari hari ke hari.

Sudah sampai masa semua pihak tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau politik untuk mengenepikan kepentingan sendiri dan mula bekerjasama demi kebaikan nasional.

Sama-samalah kita ambil iktibar dari serangkap bidalan Melayu yang sentiasa diucap tokoh pendidikan negara, saudara Aminuddin Baki:

Ayam dikepuk mati kelaparan,
Itik di air mati kehausan,
Alah sabung menang sorak,
Menang sorak kampung tergadai.