APA yang luar biasa apabila seorang wanita tempatan bertemu jodoh dengan warga asing?

Tiada apa yang pelik sebenarnya kerana perkahwinan campur antara dua ras atau kaum berbeza adalah suatu perkara normal sejak sekian lama.

Begitupun, kisah yang satu ini sedikit menarik untuk dikongsi.

Aiffa Majid, dua hari lalu berkongsi kisah cintanya dengan lelaki yang kini bergelar suaminya, Badr Kabdani, yang berasal dari Maghribi, di akaun Instagram miliknya, @missjumboqueen.

Nyata, perbezaan budaya dan rupa paras bukan penghalang bagi mereka.

Dalam status yang dimuat naik bersama gambar pernikahannya, Aiffa berkata, suaminya itu tidak memandang fizikal, sebaliknya hati budi menjadi pengikat cinta mereka.


"Di saat banyak mata-mata lelaki yang memandang, lalu mentertawakan aku, kau datang lalu berkata "Tak mengapa, mereka ketawa kerana mereka melihat melalui mata, tetapi saya memandang awak dengan hati", tulis Aiffa.

Status Aiffa itu telah menerima lebih 10,000 likes, dan ruangan komen dibanjiri ratusan komen yang tersentuh dengan ketulusan si suami menerima Aiffa.

"Jarang jumpa lelaki macam ni, kak! Tahniah!" kata pengguna Instagram dengan nama @fars.c0.

Seorang lagi pengguna Instagram, Azwa Wandi, berpendapat, fizikal bukanlah penentu atau pengukur kebahagiaan.

"Saya juga plus size, tapi tak mengapa sebab kita bahagia dengan cara kita," tulisnya.