ALOR SETAR: Kerjaya sebagai guru tidak menghalang minatnya untuk berniaga pada bulan Ramadan.

Namun, pemilihan perniagaannya unik dan lain daripada lain apabila terdapat lebih 100  jenis ulam-ulaman dijual di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman, di sini.

Selain ulam, turut dijual adalah sambal belacan yang siap dibungkus untuk memenuhi cita rasa penggemar ulam.

Menurut Muhammad Faiz Hashim, 29, dari Pokok Sena, selain modal yang kecil dan tidak membebankan, penyediaan ulam-ulaman juga tidak terlalu rumit kerana ia boleh dijual secara mentah atau sekadar direbus.

Katanya, dahulunya ulam tiada nilai kerana mudah didapati di kawasan kampung namun kini ulam-ulaman adalah antara sayuran yang boleh mendatangkan keuntungan.

Menurutnya, dia menjual tiga jenis ulam iaitu rebus, bakar dan ulam segar.

"Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung. Tidak juga rasa terlalu penat untuk sediakan menu ulam, tapi hasilnya buat saya puas hati dan rasa sangat berbaloi,

"Saya menjual lebih 100 jenis ulam seperti cekur, bayam Brazil, maman, ulam raja dan banyak lagi selain tujuh jenis sambal belacan dan air asam sebagai pencicah.

"Harga ulam-ulaman yang dijual di sini antara 50 sen hingga RM2 bergantung pada jenis ulam yang mudah diperolehi dan jarang dijual di mana-mana tempat," katanya ketika ditemui di gerainya, di sini.

Kebanyakan ulam jualan Muhammad Faiz diperoleh dari kawasan kampung di sekitar Pokok Sena dan Alor Setar selain ditanam sendiri di kawasan rumah.


Muhammad Faiz berkata, kebanyakan ulam itu diperolehnya dari kawasan kampung di sekitar Pokok Sena dan Alor Setar selain ditanam sendiri di kawasan rumah.

Dia yang berniaga hampir tujuh tahun berkata, beberapa tahun lalu, dia menjual ulam mengikut set beserta sambal belacan tetapi sekarang tidak lagi kerana cita rasa pelanggan kini berbeza.

"Kami jual sambal belacan biasa, sambal belacan buah kuini, sambal belacan buah pelam, sambal udang padang, budu dan cabai ikan," katanya.

Sementara itu pelanggan tetap, Siti Aminah Ismail, 40, berkata, dia tidak melepaskan peluang membeli tiga atau empat jenis ulam setiap hari kerana amat menggemari sayuran tradisional itu.

“Paling disukainya adalah terung bakar dan daun pegaga serta ulam raja kerana sayuran ini dapat menyejukkan badan kerana cuaca ketika ini terlalu panas.

"Sangat mudah beli di bazar Ramadan ini kerana sebelum ini saya terpaksa mencarinya di sekitar pasar tani, itupun kalau kalau ada yang jual," katanya.