LAHAD DATU: Sebelum pandemik COVID-19 melanda, Anuwar Ariffin dari Lahad Datu, Sabah menjalankan perniagaan sebagai seorang pengusaha bengkel kereta.

Namun segalanya berubah tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 seterusnya memaksa segala kelaziman yang dijalani sebelum itu dihentikan.

Penutupan perniagaan yang diusahakan dengan ketiadaan pelanggan menyebabkan Anuwar hampir berputus asa dalam meneruskan perniagaannya.

Namun dia bangkit dengan menukar strategi perniagaan dan memulakan perusahaan menternak ikan laga atau lebih dikenali sebagai ikan betta.

Ikan laga merupakan ikan air tawar yang berwarna-warni dan mendapat permintaan yang tinggi ketika ini.

Menurutnya, perusahaan bengkel yang sudah diusahakan selama lima tahun itu terpaksa ditutup demi kelangsungan kehidupan.

“Saya mengambil keputusan untuk menutup bengkel ini kerana kurang sambutan lebih-lebih lagi ketika pelaksanaan PKP kerana pendapatan diperoleh terus berkurangan.

“Jadi penting untuk saya terus menjalankan perniagaan dengan mengusahakan sesuatu yang mendapat permintaan yang tinggi seperti perniagaan ikan laga ini,” katanya.

Tambah bapa kepada empat orang anak itu lagi, dengan perniagaan yang diusahakannya ini, dia mampu menjana pendapatan yang konsisten kerana menerima permintaan tinggi di seluruh Sabah terutama di Semporna, Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.

“Alhamdullillah, sekarang ini saya mampu menjana pendapatan yang konsisten melebihi apa yang diperoleh ketika mengusahakan bengkel kereta,” tambahnya.

Jelas Anuwar, kepada rakan-rakan usahawan lain, dia berharap agar mereka tidak putus asa dan bangkit meneroka bidang perniagaan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.