Pasukan Fnatic Defence Of The Ancient 2 (DOTA2) berjaya meraih kedudukan nombor empat dalam kejohanan The International 6 (TI6) di Amerika Syarikat dan memenangi dolar AS$1.4 (RM5.6 juta).

Perkara itu diumumkan oleh pasukan itu menerusi akaun Facebook rasmi mereka, semalam.

“Fnatic berjaya meraih kedudukan nombor 4 dalam kejohanan ‘The International 6’. Mereka telah melakukan yang terbaik. Saya bangga dengan pencapaian mereka,” kongsi admin akaun Facebook kepada penyokongnya.


Pasukan gabungan pemain Malaysia dan Filipina itu berjaya menewaskan pasukan Korea Selatan MVP Phoenix pada pusingan empat tetapi tewas kepada pasukan Amerika Syarikat Digital Chaos di separuh akhir.

Pasukan Fnatic terdiri daripada Chai Yee Fung, yang terkenal dengan gelaran nama Mushi, Khoo Chong Xin (Ohaiyo), Adam Shah (343), Yeik Nai Zheng (Midone), dan seorang pemain Filipina iaitu Djardel Jicko Mampusti (DJ).

Difahamkan, para pemain professional itu menyertai pertandingan tersebut sebagai pasukan bukan pilihan tetapi memukau semua apabila berjaya menewaskan beberapa pasukan terkemuka dari Eropah dan Asia.

TI6 yang telah berlangsung sejak 3 Ogos lalu merupakan kejohanan tahunan DOTA 2 edisi keenam anjuran Valve.

Acara utama kejohanan telah berlangsung mulai 9 hingga 14 Ogos.

BACA: DOTA2: Fnatic perlu kukuhkan komunikasi pasukan, atur strategi baharu

BACA: DOTA 2: TI6 tawar habuan lebih RM75 juta, tertinggi dalam sejarah e-sukan