KUALA LUMPUR: Anak muda yang berminat dengan bidang penciptaan kandungan dinasihatkan tidak tergesa-gesa dalam memilihnya sebagai kerjaya.

Ini kerana, kerjaya sebagai pencipta kandungan (content creator) sepenuh masa tidak semudah yang disangka, sebaliknya ia menuntut komitmen yang sangat tinggi serta kebijaksanaan dalam menyampaikan isi kandungan.

Bagi Mohamad Khairul Jamain yang memiliki lebih 300,000 subscribers di saluran YouTube berkata, ramai pencipta kandungan yang berjaya, pada awalnya tidak menceburi bidang itu dengan sasaran untuk mendapatkan pulangan lumayan atau populariti.

"Masyarakat dan anak muda kita dimomokkan dengan mentaliti bahawa menjadi content creator akan dapat duit yang banyak, sehingga ada yang berhenti atau tak nak belajar.

"Sebenarnya ramai content creator tidak bermula dengan nak cari duit atau keuntungan, tetapi sebab minat. Mereka tidak jadikannya kerja sepenuh masa, berhenti belajar dan fokus jadi content creator.

"Ramai tak sedar, untuk menjadi content creator yang berjaya terutama di YouTube, kena ambil masa sebab nak bina identiti, jenama, stail dan karakter dalam video memang akan ambil masa, paling kurang pun enam bulan.

"Jadi saya tidak tak galakkan anak-anak muda berhenti belajar atau tak nak sambung belajar semata-mata nak jadi content creator. Lagipun, menuntut ilmu itu tak sia-sia," kata Mohamad Khairul.

Pendapat hampir sama disuarakan Ivor Lim Xian Z, yang melihat ilmu pengetahuan akan membantu penghasilan kandungan yang lebih berkualiti selain membantu menetapkan hala tuju bagi pencipta kandungan.

"Orang tengok memang seronok, boleh travel ke sana sini tetapi di belakang tabir, banyak perancangan perlu dibuat, seperti penceritaan, suntingan, trend, dan yang paling penting skrip. Kalau tak ada skrip yang baik, kita tak tahu macam mana nak bercerita.

"Selain itu, kita juga perlu ada pengetahuan dan mempunyai business sense kalau mahu bertahan lama sebagai pencipta kandungan," kata Ivor.

Sesi diskusi ‘Have YouTube, Will Travel’

Kedua-dua mereka ditemui selepas menjadi panel dalam sesi diskusi ‘Have YouTube, Will Travel’, pada Rabu.

Selain Mohamad Khairul dan Ivor Xian Z, sesi berkenaan turut membawa dua lagi pencipta kandungan, Muhammad Amir Arsad dari saluran Amir Arsad dan Muhammad Fikri Mohd Zamri dari saluran Fikri Zamri.

Sesi selama sejam itu menyaksikan keempat-empat YouTuber pelancongan ini berkongsi cara mereka menemui pengkhususan kandungan, pandangan mengenai pelancongan dan impak menerusi kandungan unik mereka di YouTube.

Dengan pelbagai platform media sosial ketika ini termasuk platform video pendek seperti TikTok, YouTube masih menjadi pilihan pencipta kandungan bagi mengetengahkan material dan kandungan masing-masing.

Bukan sahaja kerana pulangan dari segi pendapatan, malah YouTube menjadi pilihan kerana aspek pembinaan komuniti yang dilihat lebih bersifat jangka panjang.

Antara sektor yang mendapat perhatian ialah pelancongan, di mana YouTube kini menjadi rujukan orang ramai untuk mendapatkan idea dan maklumat sebelum memulakan perjalanan percutian mereka.

Ia sekali gus mendorong pencipta kandungan untuk memanipulasi kelebihan yang dimiliki YouTube bagi memastikan kandungan mereka tampil lebih komprehensif.

"Untuk jana pendapatan lebih besar, memang kita akan pergi ke YouTube. Google sendiri yang bayar dan juga klien yang minta kita review produk produk mereka.

"Satu lagi, klien di YouTube kebiasaannya bertaraf antarabangsa," jelasnya.

Khairul memulakan saluran YouTube pada 2014, dengan fokus ketika itu ialah perjalanannya backpacking ke beberapa buah negara Asia.

Selepas hampir 10 tahun, Khairul kini beralih kepada penghasilan kandungan berkaitan pelancongan mesra keluarga, terutama selepas memegang status suami dan bapa.

Bagi Ivor, dia berpendapat kandungan di YouTube mempunyai golongan penggemar tersendiri kerana durasi yang lebih panjang memberi kepuasan penonton.

Dia yang mempunyai kelulusan dalam bidang undang-undang, kini sudah memulakan jenama e-dagangnya dengan menjual produk kecantikan dan memberi tumpuan kepada penciptaan kandungan untuk produknya sendiri.

"YouTube lebih matang, ia mempunyai banyak pilihan paparan video dan penonton boleh menonton untuk jangka masa lama.

"Kalau baru nak bermula sebagai pencipta kandungan, TikTok bagus tetapi untuk bina komuniti selepas itu, YouTube lebih baik kerana jangka masa relevan sesebuah video lebih lama," katanya.