JOHOR BAHRU: Meskipun terpaksa melakukan latihan suara sambil memandu berikutan kekangan masa, ia tidak menghalang Sofizah Mousin muncul johan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, malam tadi.

Sofizah, 33, dari Selangor berkata beliau juga tidak dapat melakukan persiapan terbaik berikutan masalah kesihatan anaknya, dua minggu sebelum pertandingan.

"Biasanya saya buat latihan dalam kereta, semasa memandu. Saya memang akan buat latihan suara sendiri setiap hari," katanya kepada pemberita selepas Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) di Pusat Islam Iskandar di sini malam tadi.

Guru geografi Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor itu berkata dengan kekangan dihadapinya, beliau tidak menyangka menjadi pemenang setelah tiga kali menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan.

Menurutnya sokongan dan kata-kata semangat daripada keluarga terutama suami, Ahmad Asrol Saidi, 35, menjadi sumber kekuatan untuk pertandingan itu.

Aiman Ridhwan meraikan kemenangan bersama ibu bapanya. - Bernama

Dalam pada itu, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, 24, juga tidak menyangka dinobatkan johan qari memandangkan ini merupakan penyertaan pertamanya dalam pertandingan di peringkat kebangsaan.

"Jujur saya cakap, saya (rasa diri) ini kerdil... saya kata (pada diri sendiri), boleh ke hendak bersaing (dengan ramai peserta berpengalaman) tetapi kita bertanding untuk tilawah kena ikhlaskan diri," katanya.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah itu telah beberapa kali menyertai Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat negeri sejak berusia 18 tahun, sebelum muncul juara tahun ini, sekali gus mewakili Perak bagi peringkat kebangsaan.

Beliau berkata misinya kini adalah melakukan persediaan bagi tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa serta bercadang untuk bertalaqi bersama hakim-hakim peringkat kebangsaan.

"Dari segi taranum, (saya) memerlukan latihan kerap kerana taranum kena ada kematangan, dari segi tajwid dan fasahah supaya baca lebih tenang dan tidak kalut," katanya.

Sofizah dan Aiman Ridhwan menerima wang tunai RM15,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

-- BERNAMA