UNTUNGLAH siapa yang suka amalkan makan buah anggur kerana banyak khasiatnya untuk kesihatan diri.

Satu kajian terbaharu mendedahkan bahawa tabiat memakan anggur boleh membantu mencegah serangan jantung dan angin ahmar, lapor akhbar Daily Mail.

Sepasukan penyelidik di California, Amerika Syarikat menguji teori tersebut dengan memberi 19 peserta kajian sebanyak 46 gram serbuk anggur setiap hari.

Selepas empat minggu penggunaan anggur, terdapat peningkatan dalam kepelbagaian mikrobiotik dalam sampel najis dan air kencing yang dikutip daripada peserta.

Pengambilan serbuk anggur didapati berjaya meningkatkan kepelbagaian bakteria dalam usus yang dianggap penting untuk pembentukan sistem imun yang kuat.

Selain itu, memakan anggur juga dilaporkan mampu menurunkan paras kolesterol yang boleh menyebabkan berlaku sumbatan pada arteri dan membawa kepada penyakit jantung.

Makan anggur juga dikatakan dapat mengurangkan tahap asid hempedu yang memainkan peranan penting dalam metabolisme atau pemprosesan kolesterol.

Kajian baharu tersebut diketuai oleh Pakar Pemakanan dan Profesor Perubatan Universiti California, Li Zhaoping dan diterbitkan dalam jurnal Nutrient.

“Kami mendapati bahawa anggur mempunyai kesan baik terhadap bakteria dalam usus manusia yang memainkan peranan penting dalam sistem kesihatan manusia.

“Kajian ini turut mengukuhkan lagi manfaat anggur ke atas penjagaan jantung dengan mengawal penghasilan kolesterol yang lebih rendah,” jelas Li.


*Artikel asal di Mingguan Wanita


Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !