PUTRAJAYA: Bila sebut tentang bazar Ramadan, perkara yang bermain di fikiran selalunya hanyalah makanan.

Tetapi lain pula ceritanya untuk Festival Ramadan Putrajaya 2024 (FRP 2024), di mana pengisiannya bukan sahaja sekadar kepelbagaian juadah berbuka puasa, malahan barangan penyediaan Syawal serta pengisian aktiviti menarik turut disediakan.

Bertemakan “Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran”, pelbagai aktiviti dan juga reruai sudah dibuka bermula 9 Mac 2024, sehingga ke ambang Syawal pada 9 April 2024.


BAZAR RAMADAN PUTRAJAYA

Siapa sahaja yang tidak mengenali bazar Ramadan Putrajaya yang terkenal dengan pelbagai menu lain daripada yang lain.

Kali ini, terdapat lima lokasi bazar di Putrajaya yang menghimpunkan lebih 1,000 jenis menu juadah berbuka puasa.

Foto - Perbadanan Putrajaya

Mula beroperasi  dari jam 3.00 petang hingga 8.00 malam, selain lokasi popular di Presint 3 yang menempatkan lebih 285 tapak, terdapat juga lokasi lain yang turut dibuka termasuk di Presint 9 (50 tapak),  Presint 11 (100 tapak), Presint 14 (135 tapak) dan Presint 16 (120 tapak).

Jumlah gerai jualan sebanyak 700 buah ini juga merupakan peningkatan sebanyak 20% berbanding tahun 2023, dan pastinya Perbadanan Putrajaya (PPj) menjanjikan ia lebih meriah.


ANJUNG SYAWAL


Foto - Perbadanan Putrajaya

Menjadi kelaziman setiap tahun, FRP 2024 turut menawarkan antara bazar aidilfitri terbesar di Lembah Kelang.

Beroperasi  lebih awal dari tarikh 1 Ramadan 1444H iaitu pada 8 Mac hingga 9 April 2024, kesemua 250 peniaga akan membuka reruai mereka dari jam 12.00 tengahari hingga 12.00 tengah malam.

Komponen baru “healing station” (Khemah lutsinar dan berlampu) turut disediakan di kawasan Anjung Syawal untuk pengunjung berbuka puasa.

Segala kelengkapan syawal juga boleh dibeli, daripada seleksi busana baju melayu dan kurung, sehingga ke aksesori tambahan seperti songkok dan tudung.


IFTAR DI PUTRAJAYA

Bagi menambah kemeriahan tahun ini, Perbadanan Putrajaya turut menyediakan kemudahan kerusi meja berkonsep kafe luaran di pekarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Selain lokasi popular tumpuan pengunjung untuk berbuka puasa dalam suasana berkelah iaitu di kawasan lapang padang rumput di hadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Suasana santai ini telah menjadi tarikan pengunjung berbuka puasa bersama keluarga dan juga rakan-rakan.


PENGISIAN AKTIVITI

Tidak hanya setakat terhenti sekadar jualan, pengisian pelbagai aktiviti menarik juga dijangka bakal memeriahkan lagi Festival Ramadan Putrajaya 2024.

PPj menyediakan pentas utama FRP2024 yang sarat dengan pengisian kerohanian pada setiap hari di bulan ramadan seperti Tazkirah muzikal, penampilan selebriti hijrah dan pendakwah.

Selain itu menerusi kerjasama dengan Tik Tok Malaysia, kehadiran pencipta kandungan atau “content creator” masakan seperti Khairulaming, Aminabid, Anaq Kiriman Heaven dan Tara_choi dijangka akan memeriahkan lagi festival kali ini.

Mereka dijangka akan mengadakan sesi demo memasak secara live di aplikasi  tersebut serta sesi meet and greet bersama peminat.

Antara lain program-program berbentuk kerohanian seperti Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Wilayah Putrajaya, Program Bubur Lambuk Wilayah Persekutuan Putrajaya, Minggu Infaq Putrajaya, Program Nur Ramadan (sumbangan wang tunai kepada Asnaf) juga akan diteruskan.


MENYOKONG AGENDA MURNI

Sejajar dengan inisiatif Putrajaya Bandar Hijau Rendah Karbon dan kesejahteraan komuniti sejagat.

Pelbagai kempen turut digerakkan, seperti bawa beg atau bekas makanan sendiri ke Bazar Ramadan, Kempen Jualan Menu Rahmah, Jom Bio-diesel, selamatkan makanan, selain akan menyumbang makanan kepada masyarakat yang memerlukan.

Foto - Perbadanan Putrajaya

Selain itu kempen menggunakan produk Bio-degradasi, Elakkan Pembaziran Makanan serta kerjasama dengan SWCorp untuk mengurangkan Sisa Organik Melalui Pengkomposan turut akan dijalankan.

Kesemua kempen ini dijangka memberi satu nilai tambah, selain usaha menyemarakkan bulan Ramadan dan Syawal, usaha kecil ini sebenarnya boleh 'menyelamatkan' bumi.


KEMUDAHAN AWAM

Kali ini jangan khuatir, lebih 2,000 tapak parkir kenderaan disediakan bagi menampung jumlah pengunjung yang ramai disediakan di sekitar kawasan utama Presint 3.

Dengan harga tiket yang rendah, PPj berharap kemudahan parkir ini dijangka akan melegakan pengunjung untuk memudahkan urusan mencari barangan atau mengikuti aktiviti yang sudah disediakan.

Foto - Perbadanan Putrajaya

Antara lain ialah kemudahan menunaikan Solat, berjemaah dan tarawih juga berhampiran dengan lokasi iaitu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Jadi jangan lepaskan peluang hadirkan diri ke Festival Ramadan Putrajaya 2024 ini supaya orang ramai dapat merasai sendiri suasana meriah, santai dan unik yang mungkin tidak ada di tempat lain.