Lebih kurang 30 hingga 40 keluarga Melayu di pinggir bandar utara Melbourne menubuhkan satu komuniti yang dikenali sebagai Kampung Utara Melbourne.
Dua belia dari kampung berkenaan Syukri Joffri dan Alauddin Zulfikar - berkongsi beberapa video kepada Astro AWANI tentang bagaimana Hari Raya disambut di Melbourne.
"Hari Raya di Melbourne adalah campuran budaya kerana adanya orang Arab, Turki, Somalia,dan Melayu dan kami akan berkumpul.
"Tetapi masyarakat Melayu masih mengekalkan tradisi dan meraikan Hari Raya seperti di kampung halaman. Rendang, ketupat, kuah kacang adalah hidangan yang pastinya ada pada Hari Raya. Kami melawat antara satu sama lain dan menyambut Hari Raya sebagai satu komuniti," kata mereka yang turut menganggotai kumpulan belia Umair.
Sumber: YouTube/Umair Youth Group
Mereka juga berkongsi pengalaman Ramadan mereka, di mana pelbagai aktiviti keagamaan diadakan.
"Salah satu acara yang menjadi tradisi adalah berbuka puasa antara bapa-bapa dan anak lelaki dan ibu-ibu dan anak perempuan. Ketika sesi berbuka puasa ini, golongan belia akan menganjurkan berbuka puasa, pelbagai aktiviti dan sesi perbincangan.
"Ibu-ibu dan anak-anak perempuan mereka akan berkongsi pengalaman, pandangan dan menghabiskan masa dengan satu sama lain sebagai satu masyarakat. Golongan bapa-bapa dan anak-anak lelaki mereka akan menganjurkan acara yang sama juga,” kata mereka.
Sumber: YouTube/Umair Youth Group
Ketika Ramadan, fokus diberikan kepada aktiviti ibadah.
Ahli komuniti akan mengajurkan terawih di musollah yang diuruskan oleh komuniti Kampung Utara Melbourne.
Sumber: YouTube/Umair Youth Group
Semangat persaudaraan komuniti Kampung Utara Melbourne bukan sahaja ketika berbuka puasa sahaja, tetapi waktu sahur juga.
Golongan belia akan pergi ke rumah masing-masing untuk bersahur dan menunaikan solat Subuh:
Sumber: YouTube/Umair Youth Group
Kumpulan belia Umair akan terus merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Mereka juga akan menghasilkan pelbagai video di laman YouTube, agar dapat mengeratkan lagi komuniti Kampung Utara Melbourne.