TOKYO: Restoran dengan nama “Zero Two Nasi Kandar Tokyo” dibuka pada Januari dan disebut sebagai restoran nasi kandar pertama di Jepun.

Menariknya, ia dibuka oleh warga Jepun yang hanya dikenali sebagai Tateda, selepas jatuh cinta dengan rasa masakan itu ketika berkunjung ke Malaysia.

Hidangan utama yang disajikan di restoran tersebut ialah sepinggan nasi kandar yang dihidangkan dengan enam pilihan kari berbeza dan lauk-pauk seperti telur rebus, ayam goreng, udang goreng, sotong, kambing, dan banyak lagi.

Ia juga turut dihidangkan dalam daun pisang serta pinggan plastik berwarna terang, seperti mana ia biasa disajikan di Malaysia.

Hidangan nasi kandar di Tokyo. - IG/Zero Two Nasi Kandar Tokyo

Dekorasi restoran itu dilengkapi mural dengan estetika Malaysia pada dindingnya, yang pastinya membuatkan warga tempatan yang berada di sana lebih merindui kampung halaman.

Tidak sekadar keindahan dekorasi, lebih penting masakannya juga menepati selera apabila orang ramai dilihat berbaris panjang di luar restoran menunggu giliran untuk menjamu selera, malah makanan juga kerap kali habis sebelum tamat waktu perniagaan.

“Terima kasih kerana kerana datang ke restoran kami, makanan habis terjual hari ini!

"Kami minta maaf kepada pelanggan yang merancang untuk datang. Kami tidak sabar untuk berjumpa anda lagi,” tulis mereka di laman Instagram.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!