Penerapan dan penekanan bahasa Arab dalam sistem pendidikan Islam di Malaysia dapat membantu memberi impak positif terhadap negara ini.

Timbalan Pengarah Pengurusan Institusi Pendidikan Agama (PIPA), Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Azhar Ahmad berkata bahasa Arab dan pendidikan Islam merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan kerana asas dalam pendidikan agama adalah Al-Quran dan Sunnah yang mana kedua-duanya disampaikan dalam bahasa itu.

"Jika kita boleh menguasai bahasa Arab dengan baik maka kita mampu memahami agama dengan baik dan lebih tepat", katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis pelancaran Seminar Penerapan Bahasa Arab Dalam Pengajaran di Malaysia anjuran ISESCO Malaysia dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Langkawi.

Azhar berkata keperluan bahasa Arab tidak tertumpu dalam bidang pendidikan sahaja, tetapi juga menjadi satu asas yang sangat penting dalam semua aspek kehidupan selain hubungan antara negara.

"Penguasaan bahasa Arab menjadi satu kemahiran yang sangat diperlukan dari sudut ekonomi dalam usaha untuk mengembangkan lagi jalinan antara ekonomi negara dengan negara-negara Arab yang mempunyai daya beli yang sangat tinggi.

"Ini merupakan satu peluang sangat baik untuk generasi muda di Malaysia untuk mempelajari dan menguasai bahasa Arab bukan sahaja dari segi penulisan dan pembacaan bahkan yang paling penting adalah komunikasi", katanya.

Seminar yang berlangsung selama lima hari bermula 3-7 April ini dihadiri oleh kira-kira 125 peserta yang terdiri daripada guru-guru dan pegawai dalam bidang pendidikan bahasa Arab dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina, China, Thailand, Kemboja, dan Vietnam.

Seminar berkenaan antara lain juga bertumpu kepada prospek kerjasama pendidikan dalam pelajaran bahasa Arab, peluang kerjasama akademik antara pusat dan institusi pendidikan khusus dalam bahasa Arab di negara-negara Asia Tenggara. - BERNAMA