VERMONT, AMERIKA SYARIKAT: Penantian 11 tahun seorang warga emas berakhir dengan kegembiraan selepas buku penulisannya yang dilancarkan mendapat sambutan hangat, baru-baru ini.

Memetik BBC, Lloyd Devereux Richards, bapa kepada tiga orang anak juga menghabiskan 14 tahun mengejar impiannya menulis sebuah novel mengenai kisah pembunuhan bersiri.

Hidup Richards berubah selepas anak perempuannya memuat naik sebuah video berdurasi 16 saat di TikTok dengan kapsyen" “Suka untuk saya jika dia mendapat jualan."

Tidak lama kemudian, jualan novel itu melonjak ke tangga teratas di Amazon.

Berita mengenai populariti Richards yang merupakan seorang peguam membuatkan dia menangis ketika membaca komen di siaran yang tular di TikTok.

Anak perempuannya juga menangis, berterima kasih kepada peminat atas pembelian.

"Kerana mereka, kamu nombor satu," katanya kepada ayahnya.

"Dia tidak tahu apa itu TikTok," tambah anak perempuannya itu.

Dalam pada itu, sebuah video tular menceritakan perjalanan panjang Richards menamatkan penulisan novel berjudul Stone Maidens mendapat lebih daripada 40 juta tontonan.

TikTok yang merupakan platform video berdurasi pendek banyak membantu meningkatkan jualan buku dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk melalui hashtag #BookTok, yang digunakan pembaca untuk membincangkan pengarang kegemaran mereka dan pilihan buku.

Menurut laporan New York Times, pada tahun 2021 sahaja, BookTok membantu pengarang menjual 20 juta buku bercetak.

Sementara itu, Richards tidak mengambil masa berehat lama untuk meraikannya yang mana beliau kini sedang menyiapkan sekuel novelnya itu.