SUATU ketika dahulu ramai beranggapan bahawa jika bekerja dengan keras hingga hampir separuh hari di pejabat itu menunjukkan kita seorang yang rajin.

Namun hakikatnya itu sebenarnya petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan cara kerja atau mungkin anda dimanipulasi untuk kerja hingga ke tahap tersebut.

Mungkin sejak di bangku sekolah kita dilatih untuk bekerja dengan keras sedangkan apa yang penting pada zaman sekarang adalah kerja dengan bijak.

Ramai tidak sedar bahawa petanda beban kerja berlebihan itu membawa banyak keburukan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi ahli keluarga. Lebih malang upah yang diterima langusng tidak setimpal dengan keringat yang dicurahkan dari segi fizikal dan mental.

Jadi amat penting untuk anda mengetahui sama ada tahap kerja sekarang 'normal' atau tidak. Jika anda mengalami dan berdepan petanda di bawah, itu bermakna anda sebenarnya dibebani kerja melampau.


SUKAR DUDUK DIAM

Percaya atau tidak, inilah di antara kesan akibat terlaku banyak bekerja. Apabila badan berdepan 'burnout', badan anda berdepan kondisi di mana tidak boleh duduk diam.

Ini terutamanya buat mereka yang kerja dalam kondisi tekanan tinggi. Apabila bekerja terlalu lama, diri seakan tidak boleh bezakan antara waktu rehat dan kerja.

Atau mungkin juga anda tidak dapat duduk diam kerana bebanan kerja tetap datang mencurah-curah walaupun ketika bercuti. Baru hendak berehat ada saja panggilan telefon atau SMS daripada pejabat untuk anda uruskan.


TIADA MASA UNTUK DIRI DAN KELUARGA

Berehat di hujung minggu untuk bukanlah satu perkara yang wujud dalam kamus kehidupan anda. Akibat terlalu sibuk dengan kerja anda tiada masa untuk diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan. Malah segala hobi anda lakukan dahulu ditinggalkan begitu sahaja akibat tiada masa.


MUDAH LUPA

Setiap manusia mempunyai had tersendiri untuk berkerja dalam sehari. Apabila beban kerja itu terlalu banyak ia boleh menyebabkan anda menjadi pelupa.

Ini kerada anda sering fikiran bagaimana untuk menyelesaikan masalah kerja. Lalu anda jadi pelupa dan ini akan menjejaskan kehidupan serta hubungan anda dengan orang lain.


TIDAK JAGA WAKTU MAKAN

Bagi anda makan itu hanya satu perkara yang peru dilakukan untuk terus bertenaga agar dapat bekerja. Anda mungkin sudah semakin melupakan bagaimana indahnya nikmat makanan sedap.

Waktu makan juga tidak menentu. Kadangkala anda hanya akan makan sekali sehari.

Pengambilan kopi dan minuman berkafein juga sangat tinggi. Ini hanya akan menyebabkan kesihatan anda merudum dalam jangka masa yang panjang.


MUDAH SAKIT KEPALA

Seperti dinyatakan di atas, setiap orang ada had yang tersendiri. Kesan akibat dibebani kerja berlebihan akan dirasai badan. Antara petanda paling jelas adalah anda mudah sakit kepala. Waktu tidur juga sangat pendek dengan hanya dua atau tiga jam sehari.

Berhati-hatilah jika anda ada simptom dan petanda seperti yang dinyatakan di atas.

Artikel asal disiarkan di Maskulin.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !