SERDANG: Cabaran yang dihadapi sebagai petugas barisan hadapan, khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak sesekali melunturkan semangat sepasang suami isteri untuk menggenggam ijazah sarjana dalam bidang komunikasi.

Insp Mohd Hafiz Hafizul Mohd Khaidir, 35, dan isteri Insp Siti Narika Amirudin, 34, antara graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46 (Sidang Dua) hari ini, bersyukur akhirnya dapat menamatkan pengajian mereka dalam tempoh dua tahun.

Mohd Hafiz Hafizul yang juga Pegawai Penguatkuasa di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur berkata segala cabaran dan halangan dihadapi menjadi pencetus semangat untuk meneruskan pengajian, di samping menabur bakti kepada masyarakat serta negara tercinta.

"Sepanjang tempoh pengajian, kami bukan sahaja terpaksa bekerja dalam tempoh 24 jam secara bergilir sementara cuti pula dibekukan.

"Dalam tempoh itu juga, kami terpaksa belajar secara dalam talian walaupun ketika waktu operasi sekatan jalan raya dengan suasana bising akibat daripada bunyi kenderaan," katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Siti Narika yang pada suatu ketika hampir berputus asa, bersyukur pensyarah dan majikan begitu memahami keadaan mereka.

"Masa itu kami rasa tak boleh nak beri komitmen lagi. Banyak benda perlu dibuat dalam satu-satu masa. Belum lagi masa dengan anak-anak.

"Tapi pensyarah sentiasa memberi kata-kata semangat dan bertolak ansur terutamanya dalam soal tugasan," katanya yang bertugas sebagai Pegawai Perlesenan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Menurut pasangan yang mempunyai dua orang anak itu, mereka memilih jurusan itu kerana kemahiran berkomunikasi sangat penting bagi anggota polis terutama dalam aspek penyampaian maklumat serta pencegahan jenayah kepada rakyat.

Terdahulu, Pro Canselor UPM Prof Emeritus Datuk Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie menyampaikan ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda kepada 830 graduan pada majlis konvokesyen itu.

Dalam pada itu doktor veterinar A. Khanmani, 28, sangat berpuas hati dapat membanggakan ibunya apabila memperoleh Ijazah Sarjana Sains Veterinar dengan keputusan cemerlang.

Anak sulung dari empat beradik itu berkata ibunya seorang pemandu bas sekolah hilang pekerjaan semasa PKP, justeru beliau mengambil inisiatif menjual manisan tradisional India ladu secara dalam talian bagi menyara kehidupan.

"Ketika itu saya terpaksa belajar secara dalam talian dan walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan, saya juga perlu berusaha mencari nafkah membantu ibu.

"... dan walaupun ada kekangan kerana belajar dari rumah, saya bersyukur dapat lulus dengan cemerlang. Setiap perkara yang saya buat, saya pasti akan melakukannya dengan terbaik, supaya ibu bangga," katanya yang turut berhasrat melanjutkan pengajian pada peringkat PhD.

-- BERNAMA