KUALA LUMPUR:Siapa yang menyangka jenama makanan premium kucing, POWERCAT tidak hanya menjadi makanan kegemaran buat si comel.

Sebaliknya, produk keluaran Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) itu juga boleh digunakan sebagai makanan tambahan kepada haiwan-haiwan lain.

Sehubungan itu, syarikat pengeluar produk-produk makanan terkenal negara itu hari ini menyalurkan sumbangan produk POWERCAT dan RM20,000 kepada Zoo Negara dalam usaha meringankan beban pusat ikon riadah negara itu.

Pengurus Pemasaran Adabi, Yusrie Yahana berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan salah satu inisiatif Kempen #AdabiPrihatin yang giat dijalankan sejak tahun ini.

“Sumbangan ini pada asaskan kita nak memberi sokongan untuk aktiviti dan kelangsungan Zoo Negara. Selain itu, kita nak memperkenalkan produk Adabi kepada masyarakat, dan seterusnya memperluaskan penggunaan produk-porduk kita kepada haiwan juga.

“Produk POWERCAT adalah berdasarkan sumber ikan. Jadi, daripada sumber ikan ini kita memang boleh mempelbagaikan penggunaannya kepada haiwan-haiwan lain,” katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Amat Lana.

Sementara itu, Doktor Veterinar Powerpets Food Sdn Bhd, Dr Nur Syafiqah Abdul Aziz, berkata produk POWERCAT yang lebih sinonim untuk kucing boleh dijadikan makanan tambahan kepada haiwan lain kerana kandungan protein dan lemak yang tinggi.

“Kita selalu berikan kepada kucing-kucing tetapi ia juga boleh diberikan kepada haiwan-haiwan lain terutama kat sini (Zoo Negara), kita beri kepada burung dan haiwan-haiwan lain.

"Ia sesuai untuk diberikan kepada mereka tetapi bukan sebagai makanan utama seperti untuk kucing. Selain burung, ia boleh diberikan kepada hyena (dubuk),” tambahnya.

Adabi turut menyalurkan produk jenama makanan kucing premium keluaran mereka, POWERCAT sebagai makanan tambahan kepada haiwan di Zoo Negara - Gambar Astro AWANI

BACA: Ayuh bantu selamatkan haiwan di Zoo Negara

Dalam perkembangan lain, Adabi yang ketika ini mempunyai hampir 250 jenis produk di pasaran bakal mengeluarkan produk baharu menjelang 2021.

Antara produk yang bakal menemui pengguna, sekali gus menepati citarasa asli Melayu termasuk Sambal Kicap; Pes Sambal Tumis dan Pes Masak Lemak.