KUALA LUMPUR: Amalan gaya hidup sihat seperti bersenam serta pemakanan yang seimbang sejak usia muda adalah rahsia bekas guru, Bahrum Basar, kekal gagah walaupun usianya kini genap satu abad.

Bahrum yang menyambut hari lahirnya ke-100 semalam masih melakukan rutin harian yang sama seperti berjalan kaki pada setiap pagi dengan ditemani salah seorang anaknya bagi mengekalkan kesihatan serta kecerdasan fizikal dan mentalnya.

Antara amalan lain adalah pemakanan yang menurut beliau, hanya makan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja serta tiada sebarang pantang larang, sebaliknya hanya membanyakkan memakan sayur dan buah-buahan.

"Dalam ilmu perantauan saya pegang, makan pada waktu lapar dan minum waktu haus. Kita tahu sukat (sukatan) berapa banyak yang mahu (perlu) makan dan minum," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediaman anaknya di Damansara Heights di sini, semalam.



Jika kebiasaannya golongan seusianya dilihat sudah uzur dan tidak lagi dapat membaca atau menulis, namun berbeza pula dengan Bahrum yang masih berupaya melakukan aktiviti itu, malah mahir menggunakan teknologi seperti komputer riba bagi mendapatkan bahan bacaan.

Katanya setiap pagi beliau akan membaca surat khabar elektronik untuk mengikuti perkembangan semasa tempatan dan global, di samping mengekalkan kecerdasan minda.

Pada usia mudanya, anak kelahiran Kerling, Selangor ini banyak merantau di seluruh pelosok negara dan melalui pelbagai zaman termasuk ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada era 40-an, malah pernah mengajar di sebuah sekolah Jepun di ibu kota.

Mengimbas kembali perjalanan hidup, Bahrum yang mendirikan rumah tangga dengan arwah isterinya Rasinah Nazar pada 8 April 1951 telah dikurniakan 11 cahaya mata, dan kini mejadi datuk kepada 28 cucu serta 25 cicit.

Sebelum menimang anak keenam, beliau membuat keputusan untuk menetap di kampung isterinya di Lenggeng, Negeri Sembilan pada tahun 1961 dan mengusahakan pertanian seperti kebun dan sawah padi.

Ditanya mengenai pengambilan vaksin COVID-19, penulis buku autobiografi 'Gedung Cinta Kunci Setia' itu secara peribadi amat berlapang dada untuk menerima suntikan, selaras dengan usaha kerajaan untuk membendung dan melindungi orang ramai daripada dijangkiti wabak itu.

"Saya sudah ambil vaksin, lepas saya ambil vaksin saya rasa yakin untuk keluar rumah dan jalani rutin harian... kalau itu kebaikan (ambil vaksin), jangan takut," katanya yang telah melengkapkan vaksinasi baru-baru ini.

-- BERNAMA