GAYA HIDUP
RWMF 2025: Sambutan kepelbagaian budaya, muzik dunia kembali gegarkan Bumi Kenyalang

Rainforest World Music Festival (RWMF) edisi 2025 kembali menghangatkan suasana di Kampung Budaya Sarawak (SCV), Kuching bermula hari ini hingga 22 Jun.
KUCHING: Rainforest World Music Festival (RWMF) edisi 2025 kembali menghangatkan suasana di Kampung Budaya Sarawak (SCV), Kuching bermula hari ini hingga 22 Jun.
Bertemakan Connections: One Earth, One Love, RWMF tampil dengan pameran budaya serta persembahan hebat daripada barisan artis antarabangsa dan tempatan yang menjanjikan pengalaman budaya dan muzik luar biasa.
Bagi edisi 2025, festival ikonik ini terus mengekalkan identitinya sebagai platform perpaduan budaya dengan rentak alunan muzik yang pelbagai apabila menampilkan pemuzik dan penyanyi dari seluruh dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun, Columbia, United Kingdom, Belgium, Filipina, Thailand dan Malaysia.
Antara persembahan yang dinanti-nantikan termasuk Earth, Wind & Fire Experience by Al McKay, Otyken, Seppuku Pistols, Rob Ruha, Gaga Gundul, La Chiva Gantiva, Kuntaw Mindanao, Manhu, Kulaiwi, Paradise Bangkok Molam International Band dan ramai lagi.Lebih menarik beberapa pemuzik tempatan seperti At Adau, Buloh Berkocak, Kancet Ajai Warrior Dance, Meruked, Naungan, Buddha Beat feat Sinaran Collective dan Mathew Ngau Jau with Lan E Tuyang akan turut tampil memeriahkan acara kali ini.
Selain itu, festival selama tiga hari ini turut dipenuhi pelbagai aktiviti seperti bengkel budaya, tarian tradisional, persembahan akustik, sesi interaktif serta demonstrasi alat muzik tradisional.
Mengulas mengenai penganjuran tahun ini, penganjur menerusi laman web rasmi RWMF berkata, penganjuran ini bukan sekadar festival muzik, tetapi satu platform pemuliharaan warisan budaya dan eko-pelancongan yang selari dengan aspirasi Sarawak sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Menerusi edisi penganjurannya tahun lalu, RWMF berjaya merekodkan kehadiran terbesar sepanjang penganjurannya.
Ia selepas RWMF 2024 berjaya merekodkan kehadiran lebih 26,000 pengunjung, seterusnya mengatasi jumlah tertinggi pada 2019 dengan 23,000 orang.
Tiket-tiket RWMF 2025 boleh didapati secara dalam talian di laman rasmi RWMF dan di ticket2u.com.my/rainforest dengan pelbagai pakej termasuk pas harian dan tiket untuk tiga hari.
RWMF mula dianjurkan pada 1998 dan sejak itu terus berkembang menjadi antara festival muzik dunia yang paling dinanti-nantikan di rantau Asia Pasifik, menarik ribuan pengunjung setiap tahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami