PEMERGIAN orang tersayang merupakan perkara paling menyedihkan bagi sesiapa sahaja.

Justeru, kisah anak kecil ini yang berjaya melaksanakan satu tanggungjawab, meskipun baru sahaja melalui satu episod kehilangan dalam hidup, mungkin perlu dijadikan inspirasi.

Seorang guru yang menggunakan nama Cikgu Hussayn di Facebook berkongsi kisah anak muridnya, Azri Haziq Hairul Saleh, yang tekad ke sekolah untuk menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), biarpun baru kehilangan bapanya.


Azri hadir untuk menduduki kertas Sains 1 pada sebelah pagi dengan berpakaian baju Melayu.

Murid SK Putrajaya Presint 8(2) juga terpaksa menduduki peperiksaan di SK Rantau Panjang, Klang kerana jenazah bapanya dikebumikan di sana.

Selesai peperiksaan, dia bergegas pulang untuk turut sama memandikan, mengkafankan dan mengebumikan bapanya.

Selesai upacara pengebumian, dia kembali ke sekolah untuk menghabiskan kertas terakhir.

Difahamkan, bapa Azri meninggal dunia malam tadi di Hospital Putrajaya.

"Cikgu nak Azri tahu yang cikgu bangga dengan keputusan yang Azri buat untuk terus menduduki UPSR kerana tak ramai di luar sana mampu hadapi dan lakukan apa yang Azri lakukan hari ini," tulis Cikgu Hussayn.

Kisah Azri telah menerima lebih 1,300 kali perkongsian.