Keunikan 'Bento' atau dalam bahasa Melayu, seni makanan bekal semakin popular dalam kalangan masyarakat hari ini.

Kebanyakan daripada mereka bersetuju membawa bekal adalah salah satu cara bagi mengurangkan perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

Lebih menarik bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang masih bersekolah, di samping mereka menyediakan bekal buat anak-anak, amalan berjimat juga boleh disemat dalam diri mereka selain memastikan kebersihan makanan terjamin.

Menyedari minat umum terhadap seni bento, Muzium Negara mengambil kesempatan menganjurkan program sehari "Bengkel Bento" buat ibu bapa yang berminat dalam mendalami ilmu itu.

Demonstrasi penyediaan

Siti Mardiana Embok Untak atau lebih dikenali sebagai Yan Diana, 36, dijemput pihak muzium bagi berkongsi dan membuat demonstrasi bagi menyediakan bento.

Berkongsi minatnya, suri rumah itu mengakui pada peringkat awal anak-anaknya menolak untuk membawa bekal ke sekolah, namun seni bento yang dipelajari melalui rakan-rakan di laman sosial membolehkan beliau menyediakan bekal yang menarik, sekali gus menarik minat anak-anak untuk membawa makanan bekal atau bento yang disediakan.

"Dengan adanya makanan yang comel anak-anak lebih bersemangat untuk membawa bekal makanan ke sekolah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Muzium Negara, di sini, hari ini.

Ibu kepada empat orang anak ini berkata setiap pagi beliau akan bangun seawal 4.30 pagi bagi menyiapkan bekal buat anak-anaknya.

"Mereka juga akan diberikan RM1 untuk dibuat belanja jika mahu membeli sesuatu di sekolah.

"Jika wang itu tidak diusik, saya akan beri wang tambahan sebanyak RM1 lagi sebagai ganjaran kerana anaknya berjimat dengan cara ini anak-anak saya akan lebih galak untuk berjimat," katanya.

Kreatif dan sihat

Seorang peserta program itu, Nor Hasidawati Hamid, 36, berkata beliau mengetahui mengenai bengkel berkenaan melalui Kelab Bento Malaysia di Facebook.

"Saya sudah lama ingin mempelajari seni bento, namun tidak ada kesempatan...apabila terbaca di Facebook, Muzium Negara akan menganjurkan bengkel ini sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang.

"Selain dapat menyediakan bekal makanan yang kreatif buat anak-anak, saya juga dapat memastikan makanan yang dimakan oleh mereka bersih dan sihat," katanya.

Selain seni bento, Muzium Negara turut menganjurkan Pameran Estetika Perak dan Tembaga yang mempamerkan sebanyak 133 koleksi perak dan 124 koleksi tembaga antaranya ialah tudong kuih, bekas watikah, Piala H.M.S Malaya, set tepak sireh Sultan Abdul Samad, gantang tembaga, cermin muka berayat dan meriam mini.

Pameran yang dibuka secara percuma itu dibuka kepada umum dari 1 Mac hingga 1 Julai 2016.