LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenakan kompaun terhadap seorang peruncit di pinggir bandar Labuan kerana menggunakan alat timbang yang mempunyai pensijilan tamat tempoh.
Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata pihaknya mendapati peruncit tersebut menggunakan alat timbang spring dua muka berkapasiti 20 kilogram untuk urus niaga walaupun penentusahanmya telah tamat tempoh .
“Lokasi perniagaan bukan alasan untuk tidak mematuhi undang-undang...sama ada beroperasi di kawasan bandar atau pinggir bandar, peniaga mesti memastikan peralatan digunakan untuk urus niaga mematuhi peraturan yang berkuat kuasa,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata peniaga dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71).
Berdasarkan akta berkenaan, individu yang disabitkan kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM40,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Junaidah berkata tindakan itu membuktikan pemeriksaan dan penguatkuasaan KPDN dilaksanakan tanpa mengira lokasi premis perniagaan, termasuk di kawasan pinggir bandar.
Beliau berkata penggunaan alat timbang dan sukat yang ditentusahkan penting bagi memastikan timbangan adalah tepat serta urus niaga yang adil antara peniaga dengan pengguna.
Junaidah turut menasihatkan semua peniaga supaya memastikan alat timbang dan sukat yang digunakan ditentusahkan serta membuat penentusahan semula sebelum tamat tempoh.
“KPDN akan terus melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh Labuan bagi memastikan semua peniaga tanpa mengira lokasi, mematuhi undang-undang dan peraturan,” katanya.
-- BERNAMA